SERAMAI 72 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka dan Jasin berjaya menamatkan Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri 5/2018 di Padang Kawad UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin.

Acara kemuncak LIBK itu diserikan dengan majlis perbarisan tamat latihan yang dirasmikan Brigedier Jeneral (Kesatria) yang juga Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya. Datuk Sabariah Mahat.

Sejak 2014 hingga tahun lalu, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin berjaya melahirkan hampir 150 orang Komander Kesatria yang merupakan satu-satunya badan beruniform yang terdapat di UiTM.

“Objektif utama program LIBK ini untuk mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi dan menjana aspek kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar-pelajar.

“Menerusinya, mereka bakal menjadi komander selain melatih bakal pemimpin berkualiti selaras dengan hasrat universiti.

”Di samping itu program ini diharap dapat menerapkan dan memupuk etika komunikasi berkesan dalam diri pelajar secara individu dan berkumpulan,” ujar Sabariah.

Kejayaan program ini menjadi  penanda aras kepada disiplin dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar UiTM.

“Ia juga sebagai panduan kepada mereka dalam usaha menjadi pemangkin dan perangsang kepada warga UiTM dan generasi muda hari ini untuk  berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai pelbagai kejayaan,” katanya.

Hadir sama, Kolonel Kesatria dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin, Nordiana Ibrahim dan Leftenan Kolonel Kesatria merangkap Pegawai Kokurikulum Kanan UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, Ahmad Bukhari Sulaiman.