INSTITUT Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program larian Soil Fun Run 2017 bertempat di Fakulti Sains, UM baru-baru ini.

Berkonsepkan larian santai, program disertai hampir 500 peserta daripada lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Program dengan kerjasama Persatuan Sains Tanah Malaysia, Rimba Ilmu, dan Pusat Keusahawanan UM (UMEC) itu antara lain dianjurkan dengan tujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan sains tanah dan kaitannya dengan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi program yang juga Pensyarah Institut Sains Biologi, Dr Rosazlin Abdullah berkata, perkongsian maklumat diharap tercapai melalui program jalinan masyarakat yang berbentuk santai dan mempromosi gaya hidup sihat.

Menurutnya, bagi mencapai tujuan tersebut, pihak penganjur menyediakan lima stesen aktiviti di sepanjang laluan larian berjarak lima kilometer.

"Aktiviti disediakan termasuk mengenal jenis-jenis tanah, mengenal pasti tanaman yang bersesuaian menurut jenis tanah, mempelajari kepentingan cacing untuk kesuburan tanah dan menanam anak pokok di dalam beg polietilena yang disediakan.

“Peserta boleh pilih sama ada untuk menanam anak pokok pisang atau pokok cili dan kemudian perlu membawanya ke lokasi akhir larian di Fakulti Sains UM," katanya.

Peserta turut dibenarkan membawa pulang anak pokok yang ditanam dalam beg polietilena di stesen aktiviti terakhir.

“Secara tak langsung, ini memperlihatkan keprihatinan Institut Sains Biologi dan Persatuan Sains Tanah Malaysia dalam usaha mengajak masyarakat untuk sama-sama menjaga ekosistem dan alam sekitar, melalui pendedahan kepentingan tanah terhadap kehidupan.

“Soil Fun Run 2017 adalah program dirancang sebagai sebahagian dari sambutan International Decade of Soils 2015-2024 yang bermula dua tahun lalu. UM sebagai pusat penyelidikan terulung dalam bidang kajian tanah di negara ini, berhasrat untuk mengumpulkan penyelidik, agensi luar, pelajar, dan orang awam dalam pelbagai aktiviti bermanfaat bagi mengetengahkan isu berkaitan tanah dalam konteks yang lebih luas seperti kelestarian alam sekitar," katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertanian Malaysia, Ahmad Nazri Abdullah Zawawi berkata, program larian pertama kali diadakan itu dilengkapi dengan pameran dari Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Malaysia.

“Saya harap peserta akan lebih memahami kepentingan tanah sebagai medium pertumbuhan pokok, pembekal makanan kepada tumbuhan, pemproses bagi bahan buangan organik dan tempat berlindung kepada organisma tanah yang berfungsi sebagai pelindung ekosistem.

“Saya juga harap mereka faham kepentingan tanah sebagai medium bagi pembangunan infrastruktur, bahan bagi proses pembekalan air bersih dan pengubahsuai atmosfera,” katanya kepada Sinar Harian.