PUSAT Kecemerlangan Kemahiran (Centre of Skills Excellence, CoSE) bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara (HVAC) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang, diiktiraf sebagai Pusat Latihan Kemahiran yang terbaik di negara ini.

Ini dibuktikan dengan kejayaan menganjurkan kursus pentauliahan personal kepada peserta dari negara Jepun untuk penyejuk (refrigerant) baharu jenis Hydrocarbon Class A3.

Kursus selama empat hari telah disertai sembilan wakil syarikat industri Jepun. Program yang julung kali diadakan untuk negara Jepun ini telah mendapat kerjasama syarikat GreenWell Co. Ltd. yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang lebih jelas berkaitan penyejuk hidrokarbon dalam aplikasi sistem penyejukan wap gas.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali berkata, beliau sangat berbangga di atas kejayaan Pusat Kecemerlangan Kemahiran (CoSE) HVAC ILP Kepala Batas yang menganjurkan kursus peringkat antarabangsa melibatkan peserta dari negara maju khususnya Jepun.

“Kalau sebelum ini, kita berbangga CoSE HVAC ILP Kepala Batas telah menganjurkan kursus untuk RAC Master Trainer peringkat Asia yang disertai oleh negara membangun dalam Asia pada tahun 2013, kali ini pula CoSE HVAC ILP Kepala Batas sekali lagi telah membuka mata negara maju khususnya Jepun untuk hadir mengikuti kursus di sini.

“Kursus ini menyediakan bukan sahaja pengetahuan yang penting tentang pengendalian hidrokarbon, tetapi juga satu peluang besar untuk berkongsi pengalaman teknikal dan kawal selia isu-isu kedua-dua negara. Oleh itu, kita berharap semua peserta akan mendapat pengetahuan yang berharga untuk dibawa pulang ke Jepun,” jelasnya.

Kursus Hydrocarbon Class A3 untuk pentauliahan personal ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi gas yang digunakan dalam sistem pendingin hawa.

Kepercayaan pelbagai pihak

Menurut Pengarah ILP Kepala Batas, Zamzuri Hassan, kepakaran tenaga pensyarah telah memberi impak baik untuk pihak industri Jepun menyertai kursus bidang HVAC ILP Kepala Batas yang dianjurkan ini.

"Tenaga pensyarah kami telah dilatih di Jerman di bawah program GIZ untuk membantu pihak industri khususnya di Asia dalam memilih sumber tenaga yang efisien, jimat tenaga, mesra ozon dan mesra pemanasan global.

"Dengan kepakaran dan keupayaan institut, kami berjaya membangunkan di sini Pusat latihan Hidrokarbon Kebangsaan, satu-satunya pusat latihan untuk Asia.

"Kami telah menerima maklum balas yang memberangsangkan terhadap kursus ini dan agensi lain yang pernah mengikuti kursus di CoSE HVAC ILP Kepala Batas adalah seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), MARA serta beberapa industri terpilih.

"Dan hari ini, saya telah dimaklumkan oleh delegasi industri Jepun bahawa mereka berjanji untuk memberikan komitmen dan memperluaskan kepada pihak industri Jepun yang lain untuk mendalami kemahiran di sini. Insya-ALLAH akan ada lanjutan siri latihan kedua dan ketiga untuk delegasi Jepun pada tahun hadapan.

“Pihak kami turut mendapat keyakinan dan kepercayaan tinggi daripada pelbagai pihak terhadap kepakaran dan pengalaman pensyarah CoSE HVAC ILP Kepala Batas. Turut serta dalam program latihan adalah kursus kepada pelajar-pelajar bidang HVAC dari kolej vokasional seluruh Malaysia untuk program latihan diploma kemahiran Malaysia," jelasnya lagi.

Perlukan Latihan Khas

Dengan potensi penggunaan gas hidrokarbon di dalam sistem penyaman udara pada masa akan datang, adalah dijangka ia dapat memberikan lebih banyak faedah dari segi kecekapan tenaga, alam sekitar dan lain-lain.

Kursus Hydrocarbon Refrigerant Class A3 ini adalah landasan sesuai bagi semua pemain HVAC secara umumnya dan para pensyarah untuk mempelajari teknik dan kaedah pengendalian gas hidrokarbon dengan prosedur yang betul dan selamat.

Perasmian kursus disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah JTM, Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali, manakala majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan Zamzuri Hassan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SERAMAI 26 pelajar dan 14 pensyarah Kolej Komuniti Pasir Gudang menceriakan penghuni Desa Bina Diri (DBD) Mersing dalam Program Jelajah Komuniti: Bangkit Bersama Desa Bina Diri Mersing selama dua hari, baru-baru ini.
  • MAHASISWA Bina Masjid merupakan inisiatif pencarian dana untuk membina masjid yang diterajui Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang (MPPUMP) sesi 2016/2017.
  • PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan bahawa terdapat 246 juta orang dalam dunia mempunyai tahap penglihatan rendah, manakala seramai 39 juta orang pula dilaporkan mengalami kecacatan penglihatan (buta) di seluruh dunia.
  • SUDAH masuk musim akhir bagi tahun ini untuk pengambilan penuntut baharu di kolej-kolej dan institut pengajian tinggi (IPT). Semakin bingung pula bagi calon penuntut baharu untuk menentukan jurusan apa yang mereka inginkan.
  • UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Centre of Advance Research on Energy (CARe) telah menempa sejarah tersendiri apabila para penyelidik CARe diiktiraf sebagai rakan penyelidik Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton setelah terlibat dengan penyelidikan bersama bagi pengoptimuman komponen utama kuasa automotif.