MARANG – Sebanyak 78 pain darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam pada Kempen Derma Darah anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang, di sini.

Kempen yang diadakan dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah itu bagi mengisi tabung bekalan darah kerana menyedari darah diperlukan pada setiap masa.

Pengarah Cawangan Pengurusan Pelajar IKBN Wakaf Tapai, Normazita@Siti Hajar Mansor berkata, kempen itu juga dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar IKBN.

Menurutnya, perlu wujud kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar bagi memastikan bekalan tabung darah hospital utama itu sentiasa mencukupi dalam menghadapi saat kecemasan.

“Seperti semua sedia maklum, keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat apabila melibatkan kes-kes rawatan memerlukan pembedahan dan juga membabitkan kemalangan serius.

“Kempen ini dilihat dapat mewujudkan kesedaran kepada mereka untuk menjadi penderma darah seterusnya dapat dijadikan sebagai satu tanggungjawab serta satu budaya hidup,” katanya, di sini.

Sambutan terhadap kempen derma darah itu juga amat menggalakkan dan ia merupakan acara dwi tahunan pelajar IKBN Wakaf Tapai bagi sesi kemasukan Januari dan Julai pada setiap tahun.