PROSUMERISMA adalah istilah yang menggabungkan perkataan producer dan consumer yang menggambarkan kecenderungan pasaran untuk mengurangkan jurang perbezaan antara pengeluar dan pengguna.

Malah, pengguna juga dilihat berpotensi menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan yang dipacu perubahan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Menyedari hakikat semasa, bahawa sebahagian besar umat Islam adalah pengguna dan bukan pengeluar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menganjurkan Konvensyen Prosumer Sedunia yang bertujuan bukan sahaja untuk mempertingkat daya saing ekonomi umat, tetapi juga menambah baik kesejahteraan sosial masyarakat. Konvensyen ini akan mempertemukan penyelidik, cendekiawan, wakil industri dan penggerak inovasi dalam usaha menghadapi cabaran abad ke-21.

Sempena konvensyen yang berlangsung pada 7 hingga 11 Ogos depan, salah satu program utama akan dianjurkan adalah program Pitch Your Product (PYP).

Pertandingan ini akan menyaksikan peserta daripada pelbagai sektor melontarkan idea inovatif untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang selain berpotensi menjana pendapatan, turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Gandingan padu AJK yang terdiri daripada generasi muda, antara elemen penting untuk menjayakan usaha murni ini.

Peserta tempatan dan antarabangsa daripada sektor pendidikan (peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan) dan industri akan bersaing untuk mengetengahkan idea masing-masing.

PYP merupakan wadah jalinan kerjasama sektor pendidikan dan industri dalam usaha menghasilkan produk, bukan sahaja bermutu tetapi juga berdaya saing yang dapat memenuhi permintaan pengguna.

Tema program PYP 2017 ialah translating innovation into wealth. Walaupun innovation sering dikaitkan dengan teknologi dan wealth sinonim dengan harta atau kekayaan, inovasi sebagaimana definisi Kamus Dewan, berteraskan kebolehan dan kreativiti dalam usaha menghasilkan sesuatu yang baharu, manakala kekayaan di sini bukan bermaksud harta dari sudut material semata-mata, tetapi merangkumi segala aspek yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup.

Oleh sebab itu, idea-idea akan dilontar tidak terhad kepada yang berbentuk komersial atau mengandung nilai ekonomi semata-mata, tetapi turut mencakupi sebarang idea berteraskan inovasi mahupun kepentingan sosial.

Objektif utama program PYP adalah untuk menggalakkan semangat keusahawanan berpaksikan inovasi selain menekankan kepentingan mengetengahkan idea dalam jangka masa yang dihadkan dan suasana keliling yang berdaya saing. Program PYP juga berperanan sebagai pelantaran untuk mengenal pasti idea-idea yang berpotensi untuk sama ada implementasi komersial dan/atau sosial.  

Pengarah Program PYP 2017, Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim mengumpamakan proses inovasi ini sebagai tali sawat (conveyor belt) aliran pengeluaran di mana cetusan dan usaha merealisasikan sesuatu idea boleh berlaku pada mana-mana peringkat.  

“Ada ahli akademik yang menumpukan masa dan tenaga untuk meneroka pengetahuan baru, yang bertindak sebagai pemangkin untuk mencetus idea bagi sesuatu produk, manakala ada sebahagian yang sudah melangkau ke tahap menghasilkan produk akhir yang mempunyai nilai komersil. Program PYP ini ibarat tali sawat yang cuba menghubungkan pelbagai pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam rangka menatijahkan produk atau perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sinergi antara institusi pendidikan dan penyelidikan dengan pihak industri amat penting dalam usaha menawarkan produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja berdaya saing dari sudut ekonomi, tetapi turut mempunyai impak sosial yang positif. Ini sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menyasarkan Malaysia sebagai antara negara teratas dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi. Program PYP ini adalah pelantaran perkongsian idea yang berpotensi untuk menyumbang ke arah matlamat tersebut.

Untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan inovasi, satu pasukan yang terdiri daripada ahli akademik UIAM telah turun padang dan melawat sekolah-sekolah rendah di  Selangor, Perak, Pahang dan juga Perlis bagi menggalakkan keterlibatan mereka dalam program PYP ini.

Selain memberikan peluang kepada para pelajar sekolah untuk tampil mengetengahkan idea masing-masing, diharapkan pendedahan kepada suasana pembelajaran dan penyelidikan di universiti dapat menyuntik perasaan ingin tahu (curiosity) di kalangan mereka dan memberikan motivasi untuk terus belajar ke peringkat paling tinggi. Bak kata pepatah Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Generasi muda inilah yang akan membentuk masa hadapan negara.

Barisan ahli jawatankuasa (AJK) program PYP ini datang daripada pelbagai latar belakang berbeza. Walaupun semua adalah ahli akademik UIAM, ramai yang mempunyai pengalaman industri. Bidang kepakaran mereka juga tidak terhad kepada sains dan kejuruteraan tetapi turut merangkumi disiplin ekonomi dan sains kemanusiaan seperti sastera dan ilmu wahyu.

Gandingan padu AJK di belakang tabir program PYP ini menunjukkan bahawa kerjasama antara pihak pelbagai pengkhususan adalah elemen penting untuk menjayakan usaha murni ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang PYP, sila layari laman sesawang http://www.iium.edu.my/PYP/2017/.

*Dr Muhammad Adli Musa, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, UIAM

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • INISIATIF penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy atau RE) merupakan antara idea bernas yang dicadangkan peserta belia dalam memelihara persekitaran negara menjelang 2050. Ia merupakan antara aspirasi belia pada program Have YOUR Say - TN50 & the Future of Malaysia’s Natural Environment.
  • SITUASI penghijrahan warga Malaysia (brain drain) ke luar negara harus dilihat dari sudut berbeza, di mana golongan tersebut mampu menyumbang kepada negara khususnya sebagai ejen rangkaian teknologi serta perniagaan baharu buat Malaysia.
  • ATLAS.ti merupakan perisian komputer berasal dari Jerman yang digunakan khusus untuk menganalisis dan menterjemahkan data kualitatif. Ia perisian canggih yang membantu mengatur, menyusun semula dan menguruskan bahan dengan cara kreatif dan sistematik.
  • PERNAH mendapat anugerah Ikon Mahasiswa UKM, Anugerah Insan Jauhari Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan serta Anugerah Ikon Lelaki Temasya Gemilang Keris Mas UKM, itu antara pencapaian boleh dibanggakan Arvend Applasamy, 23, sepanjang pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
  • UNIVERSITI Teknologi Kreatif Limkokwing, universiti Malaysia paling global, bergerak ke tahap baharu dan menarik dalam perjalanan perintisnya sebagai sebuah institusi antarabangsa unik yang komited untuk memupuk dan memajukan inovasi dan kreativiti dalam pendidikan, latihan, industri dan industri kreatif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.