KOLEJ Komuniti Chenderoh sekali lagi melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa pulang dua emas, empat perak dan empat gangsa dalam Pertandingan Penang International Halal Chefs Challenge 2018 kali ke-5 (PIHEC 2018) di Spice Arena pada 26 hingga 28 Januari lalu.

Dua pensyarah dan empat penuntut kolej ini turut menerima penganugerahan tiga diploma meskipun menerima saingan peserta dari negara Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Lebih membanggakan selain membawa pulang pingat emas, dua daripada wakil kolej itu mendapat pengiktirafan tertinggi.

Penuntut Kulinari, Muhamad Aminuddin Azhari, 19, mendapat Most Outstanding Penang International Halal Chef Artist Award dan pensyarahnya, Khairul Ashikin Abdullah Suhaimi diiktiraf sebagai Most Outstanding Penang International Halal Malay Chef Award.

Antara jenis pertandingan yang melibatkan kolej ini adalah Laksa Malaysia, Modern Nasi lemak, Modern Cuisine, Traditional Malay Cuisine, Chinese Platter Appertizer, Chinese Banquet Main Course, Fruit Carving Fishing Village dan Fruit Carving (Animal Kigdom).

Muhammad Aminuddin berkata, kejayaan itu adalah hasil bimbingan sempurna daripada pihak pengurusan kolej yang menerapkan budaya profesional dan berkemahiran tinggi.

Dia yang kini berada di semester empat juga berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat belajar di sini nanti.

“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tenaga pengajar yang berkebolehan dan berwibawa, jadi saya ambil peluang ini dan lakukan perubahan dalam diri,” katanya.

Antara kejayaan lain yang pernah Muhammad Aminuddin peroleh termasuklah Penang International Halal Chefs Challenge 2018, Pertandigan FHM@Culinaire 2017, Pertandingan Asian Culinary Challenge 2017, Pertandingan MyCCSkills 2017, Pertandingan BOTC (Battle of The Chef) 2016 dan banyak lagi pertandingan di peringkat tempatan.