KUALA ROMPIN – Teknik membuat simen fero adalah kemahiran yang ada nilainya dan amat berguna bagi sesiapa yang mahu menghasilkan sesuatu  seperti set meja di luar rumah.

Pengarah Kolej Komuniti Rompin (KKRP), Abu Bakar Mat Tai, berkata, kursus pendek anjuran KKRP baru-baru ini berjaya menarik minat ramai penduduk Kampung Janglau.

Menurutnya, seramai tiga pensyarah terlibat dalam kursus itu bagi berkongsi kemahiran yang mereka miliki.

“Kursus pendek ini dijalankan selama dua hari dan berjaya menarik minat penduduk Kampung Janglau daripada pelbagai peringkat umur.

"Kita percaya minat yang mereka tonjolkan melalui penyertaan ini mampu mengasah kemahiran yang ada dalam diri mereka dan boleh membuat sendiri walaupun dipelajari dalam sesi kursus pendek,” katanya ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat Mahasiswa Masuk Kampung anjuran Kolej Komuniti Rompin dengan kelolaan Brisk KKRP serta kerjasama JKKK Janglau, baru-baru ini.

Seorang penduduk, Rusli Harun, 48, berkata, kemahiran simen fero amat bermanfaat dan penduduk yang terlibat selepas ini boleh mencuba sendiri membina sesuatu berdasarkan kreativiti sendiri.

“Biasa tengok meja dan kerusi batu yang diwakafkan di masjid atau tempat awam, kali ini kami belajar bagaimana teknik membuatnya.

"Berdasarkan apa yang dipelajari tak mustahil lepas ni kami boleh buat sendiri,” katanya.