ASALNYA ketika dalam peperiksaan A-Levels, dia memilih bidang sains dan matematik, namun sejak sering membaca isu-isu berkaitan kehidupan susah ramai orang, minat dan kecenderungan Khalis Khalid beralih ke bidang perundangan pula.

"Saya sedar yang undang-undang adalah cara untuk memudahkan hidup ramai orang dan menegakkan hak mereka.

Disebabkan itulah saya memilih bidang ini agar dapat membantu lebih ramai orang dengan ilmu perundangan saya," kata penuntut tahun tiga Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim (Kulliyyah of Laws), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak ini.

Pada masa sama, Khalis, 22, juga sebenarnya merupakan salah seorang pendebat utama bukan sahaja mewakili UIAM, bahkan sudah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia ke pertandingan debat peringkat antarabangsa, malah baru saja dinobatkan Juara Asian British Parliamentary 2018 yang diadakan di Hanoi, Vietnam.

"Walaupun saya pelajar undang-undang dan memang kesempitan masa, saya kekal memilih debat sebagai aktiviti kokurikulum. Setiap hujung minggu, saya mesti libatkan diri dalam pertandingan debat, sama ada berdebat, menghakimkan ataupun mengurus sebuah pertandingan. Kalau saya tak study undang-undang atau berdebat, kemungkinan besar saya tengah melibatkan diri dalam permainan catur. Impian saya sebenarnya adalah nak menubuhkan NGO untuk mendidik pelajar yang tidak bernasib baik dan tidak berpeluang melibatkan diri dalam dunia debat," jelasnya.

Baginya, kokurikulum seperti debat dan catur bukan sahaja mencabarnya untuk mengasah ‘critical thinking’ dan juga ‘strategise’ dalam memenangi sesuatu debat, tetapi juga memberinya peluang mewakili universiti ke serata dunia seperti Taiwan, Mexico, UK dan lain-lain.

Memupuk Keyakinan Dalam Diri

Tambah Khalis lagi, selain minat peribadi, orang sekeliling juga merupakan pendorong dan pencetus motivasi buat dirinya untuk fokus dalam bidang debat.

"Mereka yang dalam kelab MUN (Model United Nations) dan juga kalangan siswa Yayasan Khazanah sentiasa menggalakkan saya untuk cuba berdebat. Sebab utama mereka sentiasa menggalakkan adalah agar saya dapat menjadi pelajar yang lebih bersedia untuk memohon biasiswa Rhodes bagi melanjutkan pelajaran Master di Oxford.

"Debat juga telah memupuk keyakinan dalam diri untuk berhujah depan khalayak ramai. Contohnya, dalam pusingan akhir di Asian British Parliamentary (ABP), beratus orang mendengar kata-kata saya. Saya rasa keyakinan ini hanya boleh didapati apabila kita dipaksa berhujah dengan kerap. Saya rasa skil berhujah di depan ramai juga merupakan skil yang penting dan dapat digunakan pada masa depan," katanya yang menganggap kemenangan sebagai juara ABP berkenaan sebagai amat nostalgik.

"Bila saya dapat berdiri di pentas semasa pusingan akhir di samping 'partner' saya, Syarif, dan juga dua lagi pasukan dari Malaysia, saya rasa bangga sangat sebagai pemuda Malaysia, tambahan lagi apabila kami meletakkan bendera Malaysia di atas meja kami semasa berhujah, semangat cinta pada Malaysia memang tak dapat nak 'explain'," jelasnya lagi.

Jangan Putus Asa

Menurut Khalis, tidak banyak beza cabaran sebagai pelajar mahupun orang kebanyakan. Apa yang penting dalam kehidupan seharian adalah kebijaksanaan mengurus gaya hidup terutama masa.

“Sibuk bagaimanapun seseorang itu, paling penting dalam membahagikan masa dengan betul adalah disiplin. Saya rasa banyak perkara lain yang patut dikurangkan, contohnya masa menggunakan media sosial dan juga lepak yang menelan terlalu banyak masa.

"Satu lagi, 'perseverance is key'. Jangan putus asa walaupun kita dalam kesusahan. Saya percaya, kalau kita bersabar dan sentiasa mengambil kesusahan itu sebagai pengajaran, Tuhan akan sentiasa membantu kita dalam mengharungi apa-apa sahaja," katanya berkongsi motivasi diri.

BIODATA:

Nama penuh: Khalis Khalid

Asal: Kluang, Johor

Adik-beradik: 5 orang (anak ke-5)

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

Darjah 1-6: SK Cyberjaya

Tingkatan 1-3: SMK Cyberjaya

Tingkatan 4-5: Asia Pacific Smart School

Pencapaian akademik/kurikulum:

- Anugerah Dekan 3 semester berturut-turut

- Siswa Yayasan Khazanah

- Juara Asian British Parliamentary 2018 di Hanoi, Vietnam

- Wakil Asia untuk World’s University Debate Championship Council 2018

- Hakim untuk pusingan separuh akhir World’s University Debating Championship 2018 di Mexico & Seoul Open 2018 di South Korea

- Ketua Hakim Chung-Ang University (CAU) Debate Open di South Korea 2018

- Naib Johan kategori ESL untuk Oxford Intervarsity Championship 2017

- Naib Johan Asian British Parliamentary 2017 di Krabi, Thailand

- Pendebat separuh akhir untuk Cambridge Intervarsity Championship 2017