PERKEMBANGAN teknologi komputer begitu pantas sehingga banyak peranti digunakan secara meluas oleh segenap peringkat umur, adalah sebenarnya satu sistem komputer lengkap yang jauh lebih hebat keupayaannya berbanding generasi awal alat elektronik itu.

Kemahiran penggunaan komputer dan perisian aplikasi yang dianggap sebagai kemahiran digital, telah menjadi keperluan asas masa kini lebih-lebih lagi kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Keperluan kemahiran digital kini setanding keperluan asas lain seperti kemahiran matematik dan analitik serta kemahiran komunikasi.

Dekan Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Abdul Samad Ismail berkata, tiada satu angka yang tepat mengenai penguasaan kemahiran digital dalam kalangan mahasiswa masa kini.

Menurutnya, walau bagaimanapun, apa pun program akademik yang diambil, mahu tidak mahu mahasiswa perlu menjadi seorang yang celik digital.

"Setiap tugasan dibuat tidak lagi bertulis tangan, tetapi dihasilkan dengan perisian pemprosesan perkataan. Setiap laporan biasanya adalah hasil kajian analitik yang sekurang-kurangnya guna perisian hamparan elektronik atau spreadsheet, malah untuk kajian lebih mendalam, perisian statistik digunakan.

"Begitu juga apabila hasil tugasan atau kajian perlu dibentangkan, perisian persembahan digunakan untuk penyediaan bahan dan semasa pembentangan dibuat di bilik kuliah atau di dewan seminar. Atas keperluan dinyatakan, tiada seorang mahasiswa dapat mengelak dari mempunyai kemahiran digital," katanya kepada Kampus ketika mengulas berhubung tajuk Sembang Siswa minggu ini.

Dalam kita melihat perkembangan ini, satu kajian dijalankan Inti International University & Colleges (Inti) membabitkan 316 majikan dan graduan baharu di Malaysia, baru-baru ini menunjukkan sebaliknya.

Memetik laporan akhbar tempatan mengenai kajian dijalankan, didapati kebanyakan graduan menyifatkan kecelikan digital tidak penting, dengan hanya empat peratus menganggap ia faktor utama dalam kecekapan.

Tetapi dalam kajian ini, perbezaan ketara adalah bagi kemahiran digital apabila 30 peratus majikan melihat ia sebagai kemahiran penting yang diperlukan daripada graduan dalam memberikan prestasi kerja.

Apa pun Naib Presiden Kanan Pemasaran, Produk dan Kerjasama Inti, Timothy Johnson mengakui, pengetahuan dunia digital sentiasa berubah dan diperbaharui membuatkan pemahaman terhadap kemahiran digital juga perlu dikembangkan.

Timothy turut melahirkan kebimbangan terhadap perbezaan ketara ini kerana sekiranya tidak ditangani, ia mampu menimbulkan salah tanggapan dalam kalangan siswa dan menganggap mereka bersedia untuk memasuki industri, walaupun tidak mahir dalam aspek digital.

Era Industri 4.0

Kemahiran digital bukan hanya diperlukan mahasiswa bidang teknologi maklumat atau komputer sahaja, malah untuk semua bidang jurusan - kejuruteraan, sains atau sastera.

Bagi penuntut jurusan kejuruteraan atau sains, tahap keperluan kemahiran digital adalah lebih tinggi. Pelbagai perisian reka bentuk dan kejuruteraan digunakan. Lukisan seni bina dan kejuruteraan telah banyak menggunakan perisian Reka Bentuk Berbantukan Komputer atau CAD, menggantikan kaedah tradisi pensel dan pembaris khas.

Menurut Prof Abdul Samad, walaupun sesetengah institusi masih mengekalkan kaedah tradisi, tetapi ia hanyalah untuk penuntut mengalami cara kerja lama yang memerlukan ketelitian, ketekunan dan kesabaran, tetapi mereka juga didedah dan perlu menggunakan kaedah terkini berasaskan perisian.

"Bagi penuntut bidang sastera atau sains sosial, sekiranya kajian melibatkan statistik, mereka tidak boleh mengelak daripada menggunakan perisian statistik untuk menganalisis dapatan, membina kesimpulan dan membuat cadangan yang lebih tepat dan boleh dipercayai.

"Penuntut jurusan teknologi maklumat atau komputer pula, kemahiran digital memang tidak boleh dipertikaikan lagi keperluannya. Penuntut jurusan ini bukan sahaja menjadikan pengguna perisian, tetapi juga pembangun perisian dan sistem komputer. Mereka juga adalah pembangun kandungan menggunakan peralatan dan perkhidmatan komputer sedia ada," katanya.

Menurutnya lagi, sama ada mahasiswa menyedari atau tidak, mereka sebenarnya memanfaatkan teknologi digital ini. Kemahiran digital dipupuk sama ada secara sengaja dengan mempelajari secara formal atau tidak sengaja (mencuba-cuba, bertanya rakan, membaca buku atau mencari bahan internet, atau menonton panduan penggunaan di Youtube).

"Satu lagi kemahiran digital diperoleh (sama ada secara sedar atau sebaliknya) adalah penggunaan enjin carian internet, seperti Google Search atau Yahoo.

"Dalam penyediaan tugasan atau laporan akademik, selain merujuk bahan di perpustakaan, mahasiswa lebih mudah mencari bahan di internet.

"Enjin carian adalah 'penyelamat' dan 'pembantu' dalam usaha pencarian ini, tetapi mereka sendirilah yang memerlukan kemahiran menapis bahan berkaitan dan boleh dipercayai," katanya. Syarat kejayaan

Kemahiran digital adalah syarat kejayaan seseorang mahasiswa dan selepas mereka menjadi graduan dalam jurusan masing-masing. Kompetensi yang tinggi dalam kemahiran digital memberi nilai tambah kepada mereka.

Abdul Samad berkata, walau apa pun bidang kerjaya dipilih, penggunaan teknologi digital, berasaskan IT dan komunikasi atau ICT, adalah begitu meluas dan menjadi fenomena biasa. Kompetensi kemahiran digital amat diperlukan oleh majikan di samping ilmu dan kemahiran dalam bidang jurusan.

Menurutnya, mereka yang dari bidang komputer dan kejuruteraan, kemahiran digital yang tinggi amat diperlukan dalam menjadikan Malaysia peneraju era Revolusi Perindustrian Keempat (4.0) kerana pada era ini, teknologi digital penggerak utamanya.

Beliau turut mengulas mengenai tawaran Google Ignite iaitu tertumpu kepada pembentukan kemahiran pemasaran digital menerusi platform-platform Google untuk penuntut universiti di Malaysia.

"Google Ignite iaitu usaha Google Malaysia untuk membantu membangun kemahiran pemasaran digital dalam kalangan penuntut universiti tempatan. Semenjak 2015 beberapa IPT dipelawa untuk mencalonkan mahasiswa mereka dalam program ini. Ia usaha baik dan harus diberi pujian.

"Kita sedia maklum bahawa Google adalah pemain utama dalam perkhidmatan internet. Rasanya tiada siapa yang memanfaatkan internet tidak mengenali Google dan tidak menggunakan enjin carian Google Search," katanya.

Dengan Google Search pengguna boleh mencari dan menemui halaman web atau sesawang yang diperlukan, dan dari situ, maklumat dan pengetahuan dibina.

"Dengan proses sama juga, apabila seseorang pelayar web membuat pencarian, profil pengguna dapat dibina berdasarkan apa hendak tahu, hendak dibuat, ke mana hendak pergi, apa hendak dibeli, yang dikenali sebagai micro-moments.

"Inilah yang dimanfaatkan oleh perniagaan atas talian. Kerana micro-moments inilah mengenal niat, minat dan perilaku pengguna.

"Melalui inisiatif Google Ignite ini, penuntut akan mempelajari menangkap micro-moments pengguna dan memanfaatkannya untuk tujuan pemasaran. Pelatih akan mendapat sijil Google AdWords dan yang terbaik antara mereka akan ditempatkan di syarikat pemasaran dan jenama digital," katanya.

Ukuran nilai tambah

Sementara itu, Pegawai Psikologi, Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak, Nor Adilah Mohd Nor, berkata pada abad ke-21 ini keperluan melahirkan siswa berkualiti tinggi semakin mencabar.

"Setiap tahun, lahir puluhan ribu mahasiswa dari pelbagai universiti dan institusi dari dalam dan luar negara yang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kemahiran aset amat penting sebagai ukuran nilai tambah antara pesaing dalam kalangan mahasiswa di Malaysia.

"Kemahiran digital tidak hanya terhad pada kemahiran menggunakan media sosial semata. Terdapat beberapa pilihan lain seperti media cetak (majalah dan surat khabar) dan media penyiaran (televisyen dan radio) yang kini sudah beralih kepada mobile dan mudah diakses di alam maya.

Tidak dilupakan, fenomena blog juga telah menarik perhatian jutaan remaja terutamanya untuk mengikuti penulisan penulis blog terkenal. Penulisan blog juga dapat memberikan peluang untuk menjana pendapatan dengan memberi ruang pautan iklan ke dalam blog mereka. Semakin tinggi kadar lawatan ke blognya, semakin tinggi komisen diterima," katanya.

Menurutnya, dalam masyarakat moden kini sering kali aspek celik digital dan IT dijadikan sebagai tanda aras kejayaan. Malah, tiada profesion yang tidak memanfaatkan revolusi digital ini, lebih-lebih lagi kemahiran asas komputer yang kini menjadi prasyarat untuk mendapatkan kerja.

Oleh itu menurut Adilah, setiap mahasiswa sangat digalakkan untuk sekurang-kurangnya mahir dalam kemahiran digital atau komputer yang asas.

Menurutnya, sepanjang bertugas di Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya UIAM, beliau dan rakan-rakan seperjuangan melibatkan diri dalam pelbagai jenis program dan kolaborasi dengan pelbagai syarikat dan majikan.

"Pihak kami menerima maklum balas yang kerap di mana majikan cenderung menilai kemahiran digital sebagai kemahiran asas, perlu ada dalam diri setiap graduan.

"Tambahan apabila wujud jawatan-jawatan yang mungkin tidak pernah kita jangka diperlukan dalam era ini. Sebagai contoh, Eksekutif Media Sosial, iaitu untuk berhubung dengan pelanggan dalam talian, melakukan aktiviti pemasaran melalui internet seperti Facebook, Blog, Twitter, Email, Instagram dan Youtube, memberi idea-idea baharu, kreatif dan responsif tentang pemasaran dalam talian," katanya.

Kata Adilah lagi, kemahiran ini bukan sahaja menjadi pengukur asas diterima bekerja, malah dapat menjadi ilmu asas untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.