DIKURNIAKAN bakat, kemahiran, kepakaran dan daya kreativiti yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu menjadi idaman ramai orang. Namun, tidak semua memiliki anugerah ciptaan Ilahi ini.

Pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak, Muhammad Hafeez Afandi, 21, cukup bertuah kerana dikurniakan kepakaran luar biasa dalam bidang diminati.

"Kepakaran saya lebih kepada bidang rangkaian. Asasnya adalah membaiki laptop dan komputer. Kemudian, saya boleh melaksanakan pendawaian elektrik serta menaik taraf infrastruktur sistem rangkaian. Saya juga mahir melaksanakan konfigurasi perkakasan rangkaian seperti router, switch dan wireless. Bagi konfigurasi server, saya mahir dalam melaksanakan konfigurasi sistem 'pengoperasian' windows server dan beberapa sistem operasi open source seperti Linux dan Unix," katanya.

Dek kepakaran tersebut, Muhammad Hafeez yang berasal dari Muar, Johor, terpilih mewakili negara dalam pertandingan kemahiran ASEAN Skills Competition (ASC), baru-baru ini.

Pelatih jurusan Teknologi Komputer Rangkaian, telah bertanding bagi kategori Rangkaian Teknologi Maklumat (IT Network).

ASC merupakan pertandingan di peringkat Asia yang dianjurkan dua tahun sekali dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran mereka.

"Sukar untuk digambarkan bila mendapat tahu saya terpilih ke ASC. Sesiapa pun akan gembira jika terpilih mewakili negara dalam apa jua pertandingan.

"Ketika diumumkan mewakili Malaysia, saya sudah pasang niat untuk berusaha bersungguh-sungguh dan mahu menang dalam ASC ini. Dengan usaha saya selama ini, berlatih siang dan malam, saya berjaya membawa pulang pingat emas dan seterusnya menjadi johan di pertandingan tersebut mengalahkan peserta-peserta dari negara Asean lain seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Myanmar," kata anak pasangan Afandi Salleh (bekas Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Muar) dan Mawar Rahmat.  

Ekoran kejayaan Muhammad Hafeez merangkul pingat emas, beliau layak mewakili negara ke pertandingan kemahiran, World Skills Competition (WSC) 2017 di Abu Dhabi, United Arab Emirates pada Oktober tahun hadapan.

Pertandingan WSC merupakan pertandingan kemahiran yang dahulunya dikenali sebagai Skills Olympics dan diadakan setiap dua tahun sekali. Kali terakhir pertandingan ini diadakan tahun lepas iaitu di Sao Paulo, Brazil.

Pada pertandingan tahun lepas, ILP Tangkak ada menghantar wakil pelajar sebagai peserta negara iaitu saudara Mohamad Sabrie. Pada tahun hadapan, pertandingan ini akan diadakan di Abu Dhabi iaitu pada 14 hingga 19 Oktober 2017. Ada lebih kurang 70 buah negara di seluruh dunia yang akan bertanding di WSC Abu Dhabi ini. Lebih 50 acara kemahiran yang akan dipertandingkan.

"Harapan saya di WSC Abu Dhabi nanti, saya akan cuba buat sehabis baik dan akan berusaha mendapatkan pingat emas pertama bagi Malaysia di sana," akhirinya.

 

 

 


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :