BILA tiba musim perayaan, lokasi yang paling menjadi tumpuan rakyat Malaysia adalah terminal bas untuk menempah dan membeli tiket pulang ke negeri dan kampung halaman masing-masing.

Beratur panjang dan bersesak-sesak adalah situasi biasa di tempat-tempat dan pada musim sebegini, kecualilah jika pengguna mahu membeli tiket bukan pada cuti perayaan, ia menjadi mudah dan senang kerana tidak ramai yang mahu mendapatkannya.

Berhadapan kesukaran sebegini, kadang kala diri agak tertekan. Sudahlah beratur panjang, bila tiba giliran, tiket habis. Walaupun ada menyediakan perkhidmatan bas tambahan, namun masih tidak mencukupi untuk menampung bilangan penumpang yang ramai.

Oleh sebab itu, penubuhan University Bus Ticket (UBT) oleh UBTGroup dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam membantu orang ramai terutamanya kalangan mahasiswa mahasiswi di universiti.

Ini kerana, UBT bukan sahaja memudahkan urusan perjalanan mahasiswa tetapi turut membantu penuntut tanpa perlu beratur panjang dan bersesak di terminal-terminal bas hanya untuk membeli tiket.

UBT atau Kaunter Jualan Tiket Bas Ekspres di kampus yang telah ditubuhkan enam tahun lalu, kini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan mahasiswa. Masing-masing menyambut baik penubuhan UBT kerana banyak kemudahan diperoleh, malah siswa siswi juga berpeluang bekerja secara sambilan di kaunter UBT. Bila bekerja, sudah tentu akan diberikan gaji, namun bukan semata-mata gaji, tetapi pengalaman berkaitan pengurusan perniagaan, pemasaran, pengurusan sumber manusia dan sebagainya yang diidamkan.

Di Malaysia, terdapat beberapa universiti memiliki kaunter bas di kampus iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM Kampus KL (Kediaman Siswa Jaya), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun. Juga telah mengoperasi Terminal Taman Universiti, Skudai, Johor,

Selain itu, UBTGroup juga mempunyai rakan jaringan di Universiti Malaysia Pahang Kampus Gambang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Akan datang, UBTGroup turut membuka kaunter basnya di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Putrajaya.

Inilah salah satu kemudahan dan keberuntungan mahasiswa dari kampus-kampus berkenaan kerana tidak perlu lagi keluar ke terminal untuk membeli tiket.

Membeli tiket bas di terminal yang berdekatan, menjadi kelaziman buat mahasiswa mahasiswi di negara ini. Pantang ada cuti panjang atau pendek, mereka mula berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman, semata-mata mahu berjumpa dengan keluarga tersayang.

Dek mahu mendapatkan sekeping tiket bas balik ke kampung, warga penuntut sanggup berhabis masa dan berhabis duit poket untuk ke kaunter bas yang berhampiran. Itu dikira untung jika terminal dekat, jika jauh, memang banyaklah duit diperlukan bagi menampung kos teksi atau bas untuk ke sana.

Sampai di kaunter bas, tiada jaminan tiket akan diperoleh. Jika bernasib baik, anda dapat tiket yang diimpikan, jika tidak, anda pulang ke kampus dengan hati kecewa.

Sembang Siswa minggu ini berpeluang menemu bual Pengasas UBTGroup, Noor Aiman Samsudin, 30, yang menubuhkan University Bus Ticket (UBT) pada 2010 di UTM, Skudai, Johor.

Menurut Noor Aiman, cetusan idea mewujudkan konsep kaunter di dalam kampus adalah berdasarkan pengalaman ketika menuntut di UKM. Pada waktu itu, majoriti siswa siswi terpaksa ke terminal untuk mendapatkan tiket. Kesulitan akan berlaku sekiranya perjalanan yang diinginkan adalah ketika waktu puncak seperti cuti sekolah dan perayaan.

"Maaf dik, tiket bas semua dah habis untuk semua destinasi, bas tambahan pun habis, bas persiaran pun habis." Kata-kata itu menimbulkan rasa kecewa mula bersarang dalam diri. Marah, sedih, kecewa, semuanya bercampur baur.

Selain kehabisan tiket, Noor Aiman menambah, gangguan ulat tiket di terminal juga merimaskan. Ketika itu, dia mula terfikir kenapa tidak diwujudkan kaunter tiket bas ekspres di dalam kampus? Mengapa kaunter tiket kapal terbang (agen pelancongan) ada di kawasan-kawasan strategik. Selain itu, beliau juga membuat pemerhatian, kebanyakan penumpang bas adalah terdiri golongan penuntut.

UBTGroup diwujudkan untuk membantu memudahkan urusan perjalanan para mahasiswa mahasiswi. Mereka hanya perlu ke kaunter di dalam kampus dan memilih destinasi, operator bas, masa dan tempat duduk tanpa paksaan. UBTGroup merupakan agen tiket bas ekspres lebih daripada 30 syarikat yang berwibawa dan mempunyai rekod yang baik.

Noor Aiman berkata, dengan pembelian tiket di UBTGroup, kos perjalanan mereka juga dapat dikurangkan. Risiko kehabisan tiket juga dapat dielakkan. Selain itu, risiko keselamatan juga dapat dikurangkan berbanding pembelian tiket di terminal.

"Kami mengamalkan prinsip tiada caj tambahan dikenakan ke atas tiket yang dibeli. Selain itu, pihak UBT Group menerima pakai Kad1Siswa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di mana sekiranya mereka membeli tiket pergi dan balik dari kaunter kami, mereka layak menerima diskaun RM2. Bagi mahasiswa yang kerap menggunakan bas, kami menyediakan produk Kad Ahli UBT, di mana mereka layak mendapat diskaun tiket sebanyak 5%," kata graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam (Struktur), UKM.

Peluang kerja

Penubuhan UBTGroup bukanlah sekadar satu perniagaan yang mengaut keuntungan komersial semata-mata. Kewujudannya turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk bekerja secara sambilan jika ada masa luang.

Sehingga kini, 28 mahasiswa dari universiti seluruh negara telah menawarkan khidmat mereka untuk bekerja secara part time manakala 54 orang dalam kalangan alumni universiti.

Akhir sekali, Noor Aiman mengharapkan agar perkhidmatan sebegini diteruskan dan diperluaskan lagi ke seluruh kampus di negara ini.

"Kami juga berharap agar pihak pengurusan universiti/kolej dapat membantu kami di dalam proses mewujudkan kaunter di setiap kampus. Kepada penuntut, bolehlah terus menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini sebagai salah satu inisiatif UBTGroup di dalam mengurangkan kos sara hidup ketika di kampus," katanya yang merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pengangkutan Awam Johor dan beberapa kampus yang banyak membantu UBTGroup dalam segenap aspek.

Dapat asah pelbagai kemahiran

Sebagai seorang mahasiswa, pembelajaran menjadi keutamaan bagi kami. Namun begitu, pada era kini, majikan bukan sahaja mementingkan keputusan akademik semata-mata malah lebih menitikberatkan kemahiran- kemahiran lain yang dapat membantu mahasiswa menyesuaikan diri kelak.

Dek atas faktor tersebut, saya memberanikan diri untuk bekerja sambilan dengan UBT. Selain dapat berkenalan dan berinteraksi dengan orang baru dan pelanggan, saya dapat mengasah kemahiran berkomunikasi dan dapat belajar soal pembahagian masa antara pelajaran dan pekerjaan.

Secara dasarnya, gaji bukanlah tergolong dalam faktor utama mengapa saya memilih untuk bekerja di UBT. Gaji yang saya peroleh digunakan untuk menampung makan minum di universiti dan selebihnya saya jadikan simpanan untuk kegunaan masa hadapan.

Berada di UBT, sangat jarang berdepan masalah. Rakan sekerja yang juga di kalangan siswa siswi sentiasa memberi tunjuk ajar dan membantu antara satu sama lain. Jika ada yang menghadapi masalah peribadi, rakan-rakan tampil hulur bantuan.

Berhadapan dengan pelanggan yang bermasalah sudah menjadi kebiasaan bagi staf UBT lebih-lebih lagi apabila dengan pelajar luar negara yang kurang fasih dalam bertutur bahasa Inggeris.

Salah faham mungkin berlaku dalam pembelian tiket namun kami atasi secara berhemah dengan memastikan kehendak pelanggan sentiasa dipenuhi sebaik mungkin.

UBT banyak membantu mahasiswa/mahasiswi dalam proses pembelian tiket untuk pulang ke kampung terutamanya ketika musim perayaan. Penuntut yang tidak mempunyai kenderaan bagi membeli tiket di kaunter tiket bas di luar sana, boleh mendapatkan tiket di kaunter UBT tanpa perlu berjalan jauh.

Hal ini bukan sahaja memudahkan mereka membeli tiket malah membantu mengurangkan kos kenderaan dan menjimatkan masa. - Nurul Madikhah Kamaruzzaman, Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik - Elektronik, UTM

Tiada lagi rungutan penuntut

"Selalu juga senior saya merungut gagal dapat tiket bas bila mereka beli di stesen bas di luar universiti. Sudahlah masa terbuang, duit pun 'melayang' buat tambang teksi dan beli makanan.

"Sejak UBT beroperasi di UTM, saya tak dengar lagi mereka membebel, sebaliknya gembira dan seronok kerana UBT menghilangkan segala masalah mahasiswa.

"Saya sendiri pun, memang sokong 100 peratus perkhidmatan UBT ini, saya sendiri pelanggan tetap UBT. Setakat ini, semua berjalan lancar dan saya masih boleh beli tiket saat akhir tanpa bimbang kehabisan. Ini kerana, UBT akan sediakan bas tambahan pada cuti semester bagi menampung ratusan siswa yang mahu pulang ke kampung."   - Thivaany a/p Ramasamy, Sarjana Muda Sains (Pengurusan Harta Tanah), UTM'

Beli secara online

"Saya jarang beli tiket bas di kaunter sebab tak cukup masa untuk ke sana. Saya dan rakan lebih senang beli secara online. Setakat ini, saya tidak berdepan sebarang masalah lagi.

"Cuma, beli secara atas talian ini, ada risiko. Kita tidak tahu bas tersebut akan transit di mana-mana destinasi atau tidak. Jika ada, memang saya trauma untuk naik bas itu.

"Masih ingat, ketika naik bas pulang ke kampung, pemandu tak mahu hantar saya ke lokasi yang saya nak pergi. Alasan dia, semua penumpang sudah turun, dan hanya saya seorang tinggal.

"Marah, geram, sakit hati semua ada. Sudahlah saya bayar tiket, pemandu bas tak mahu hantar. Jadi, saya terpaksa cari kenderaan lain dan masa banyak terbuang.

"Bila berlaku begini, saya agak serik untuk beli online lagi. Tapi, itulah cara yang paling mudah. Saya akan lebih berhati-hati lepas ni, sebelum beli tiket dan buat tinjauan perkhidmatan bas yang tiada transit perjalanan. - Nur Azian Yahya, Pentadbiran Perniagaan, UKM

Objektif penubuhan

Memudahkan urusan perjalanan mahasiswa mahasiswi di kampus. Mahasiswa tidak perlu ke Terminal semata-mata untuk membeli tiket.

Mewujudkan peluang pekerjaan secara separuh masa di kalangan penuntut bagi menampung keperluan pembelajaran di kampus.

Bekerjasama dengan pihak-pihak perwakilan mahasiswa di dalam program-program kemasyarakatan.

Bekerjasama dengan pihak berkuasa di dalam pembangunan dan kajian terhadap penggunaan pengangkutan awam.

Mempromosikan penggunaan inisiatif Kad1Siswa oleh KPDNKK.

CSR Programme 2016

Program bantuan perjalanan kepada 10 mahasiswa fakir miskin dan anak yatim. Pelajar layak mendapat tiket percuma sepanjang semester dengan hanya memerlukan sokongan wakil pelajar/pensyarah.

Kad Ahli UBT Group: Program ini merupakan inisiatif untuk meringankan beban mahasiswa yang kerap menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Menjadi ahli UBT, pengguna akan mendapat diskaun 5% daripada tambang bas.

Kembara Bas Muafakat Johor: Bagi mempromosikan penggunaan bas percuma oleh pihak Kerajaan Negeri Johor.

Kad 1MDC: Kaunter menerima pakai kad yang diterajui oleh KPDNKK di semua kaunter UBTGroup. Pengguna akan mendapat RM2 ke atas pembelian tiket pergi dan balik.

Program Kemasyarakatan #ubtprihatin:

1) 21 Jun 2016- Rumah Anak Yatim Titiwangsa

2) 18 Jun 2016- Rumah Anak Yatim Kajang

3) 21 Mei 2016- Program Sumbangan Perjalanan Semester kepada mahasiswa memerlukan

4) Ramadan 2016- Sumbangan beras kepada fakir miskin daerah Kuala Nerus, Kawasan Batu Rakit, Kuala Terengganu.