KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi melakar sejarah dalam penyelidikan inovasi bagi penghasilan kaedah pendebungaan baharu tanaman fertigasi Melon Manis Terengganu (MMT).

Menurut ketua projeknya, Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi berkata kaedah pendebungaan lebah kelulut ke atas tanaman fertigasi melon yang diperkenalkan ini dapat mengatasi masalah ketidakcekapan pendebungaan secara manual yang dilakukan sebelumnya seperti geitonogamy dan pendebungaan kacuk silang atau ‘hand cross pollination’.

“Projek ini mampu tingkatkan pengeluaran hasil MMT dan mengurangkan kos buruh untuk pendebungaan bagi penghasilan set buah.

“Kaedah pendebungaan kelulut juga lebih cekap berbanding kaedah pendebungaan manual yang mengambil masa agak lama, tenaga dan kos yang sangat tinggi terutamanya untuk penanaman berskala besar.

“Kelulut mempunyai keunikan tersendiri. Ia merupakan spesies serangga asli di Malaysia dan aktif sepanjang tahun. Ia juga tidak memerlukan kos yang besar untuk dipelihara dan tidak membahayakan,” katanya.

Pokok melon mempunyai bunga jenis monoecious berstruktur bunga jantan dan bunga betina terletak pada struktur bunga yang berasingan.

“Penanaman melon ini tidak akan menghasilkan set buah tanpa kaedah pendebungaan berbantu. Bagi mengatasi masalah ini, pendebungaan lebah kelulut menggantikan tenaga kerja buruh yang menggunakan tangan (hand pollination) dapat mengurangkan kos operasi pendebungaan dan meringankan beban tugas pengusaha tanaman.

“Pengusaha tanaman juga dapat menjana pendapatan sampingan melalui produk hiliran madu kelulut hasil daripada penternakan kelulut di samping pengeluaran hasil pertanian,” jelasnya.