ADA duit, semua boleh jadi. Boleh beli dan bayar apa sahaja diingini atau diperlukan. Ini kerana, nilai sekeping kertas bertanda Ringgit Malaysia (RM), Dollar dan sebagainya amat penting dalam kehidupan kita.

Namun kini, tanpa membawa tunai RM pun, kita masih mampu berbelanja atau membayar segala keperluan dengan hadirnya kad kredit atau lebih popular pada masa kini sebagai wang plastik.

Pun begitu, harus kita sedari, tidak kira sama ada menggunakan wang tunai mahupun kad kredit, tetap ada pro dan kontra. Mungkin, bagi sesetengah orang, lebih gemar dan selesa menggunakan wang tunai kerana mudah terutama di tempat-tempat yang tidak ada kemudahan mesin kad.

Tidak kurang juga yang mengakui lebih selesa menggunakan kad kredit atas faktor keselamatan kerana hanya membawa sekeping kad berbanding berhelai-helai wang tunai di samping mudah untuk membuat pembelian dalam talian seperti tempahan tiket dan sebagainya.

Namun, risikonya apabila membawa wang tunai, kemungkinan untuk ‘terlajak’ belanja tidak mustahil kerana kadang-kadang, yang tidak ada dalam senarai perlu pun boleh beli. Dari segi keselamatan pula, ia boleh mengundang bahaya apabila membawa tunai yang banyak di dalam tangan.

Penggunaan kad kredit juga demikian, boleh menjebakkan seseorang boros berbelanja dan berhutang lebih-lebih lagi jumlah harganya tidak kelihatan.

Apa yang penting dalam kehidupan setiap orang adalah perancangan kewangan. Perancangan kewangan yang betul dan sistematik akan menjadikan perbelanjaan yang dikeluarkan lebih teratur, lebih-lebih lagi di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang kebanyakannya masih bergantung pada perbelanjaan daripada ibu bapa mahupun pinjaman atau biasiswa.

Harus bijak merancang kewangan

Kad kredit bukanlah satu keperluan kepada kehidupan seorang pelajar. Demikian pandangan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Negeri Sembilan, Dr Ummi Salwa Ahmad Bustamam.

Tambahnya, pelajar tidak wajar menggunakan kad kredit kerana hal ini menggalakkan mereka berhutang dan berbelanja lebih daripada sepatutnya.

“Pelajar perlu mengetahui kaedah perbelanjaan mengikut kemampuan diri dan keluarga. Perbelanjaan diri seorang pelajar juga terhad, antaranya kepada makan minum, pakaian, sewa rumah, buku-buku dan yuran pengajian. Penggunaan kad kredit merupakan satu bebanan kepada pelajar. Pengenalan dan penggunaan kad kredit akan menyebabkan pelajar berbelanja lebih daripada sepatutnya. Misalnya membeli barangan gajet yang tidak diperlukan seperti smartphone yang berharga ribuan ringgit, melancong dan berhibur ke tempat-tempat yang mahal, serta membeli produk-produk yang mahal dan tidak berbaloi dan tidak membuat sebarang perbandingan harga,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dalam kehidupan setiap orang, perancangan kewangan sangat penting. Hal ini kerana setiap hari kita berurusan dengan wang. Perancangan kewangan yang betul dan sistematik akan menjadikan perbelanjaan yang dikeluarkan lebih teratur.

“Bagi seorang pelajar, mereka juga perlu merancang kewangan dengan betul. Pelajar perlu arif tentang aliran keluar masuk duitnya sendiri bagi memastikan mereka tidak berhutang ataupun berbelanja melebihi kemampuan.

“Sebagai contoh, lebih 80 orang pelajar Usim telah terlibat dengan program Social Enterprise Literacy for Youth (SELFY) yang merupakan kerjasama dengan Agensi Kredit dan Pengurusan Kewangan (AKPK) bagi subjek Personal Financial Planning di Fakulti Ekonomi & Muamalat, USIM. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan modal sebanyak RM1000. Setiap kumpulan perlu melaksanakan projek yang pada akhirnya, keuntungan program akan dihadiahkan kepada golongan memerlukan manakala modal dikembalikan kepada AKPK.

“Semasa program ini, pelajar didedahkan dengan bagaimana kaedah mengurus kewangan dengan bijak dan betul bagi mendorong peningkatan jualan bagi projek yang dijalankan. Pengiraan harga kos dan harga jualan yang  betul juga diajar kepada pelajar.

“Di samping itu, pelajar turut mendapat pendedahan tentang bagaimana perbelanjaan sebagai seorang berkerjaya kelak, misalnya bagaimana perbelanjaan membeli kereta dan rumah yang bersesuaian dengan pendapatan.

“Penggunaan kad kredit perlu dilaksanakan dengan berwaspada kerana mereka yang tidak pandai berbelanja akan cenderung untuk menggunakannya sesuka hati.

Justeru, perancangan kewangan perlu bermula sejak di zaman pelajar supaya budaya ini diteruskan sebaik sahaja masuk ke alam kerjaya yang mana lebih mencabar kerana telah mula memiliki pendapatan sendiri. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” terangnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan sedikit soal selidik yang dijalankan, tidak dinafikan terdapat pelajar yang menggunakan kad kredit kerana terdapat pihak institusi kewangan menawarkan kepada mereka sebagai pemilik akaun simpanan di bank berkaitan.

“Ada yang menggunakannya dan ada yang tidak, cuma tetap mengambilnya. Bagi kes ibu bapa yang memberikan kad kredit kepada anak-anak, hal ini dilihat bahawa ibu bapa ingin memberi kemewahan dan kemudahan kepada pelajar yang mungkin berada jauh daripada keluarga,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurutnya, sekiranya ibu bapa tidak mengehadkan perbelanjaan yang dibuat, perkara ini akan menyebabkan pelajar sebenarnya tidak diajar untuk merancang kewangan mereka dengan teliti malahan boleh menyusahkan pula ibu bapa di kemudian hari.

Contoh teladan yang paling dekat pastilah ibu bapa. Sekiranya ibu bapa tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak - menggunakan kad kredit sesuka hati tanpa memikirkan kesan jangka panjang, maka tidak hairanlah berlakunya kes muflis dan peningkatan hutang isi rumah yang ketara.

Tambahnya, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak agar bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak-anak yang tidak pernah berasa susah semasa menjalani kehidupan mereka di alam kampus, mungkin berisiko besar menghadapi masalah tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan-keadaan terdesak yang menyebabkan mereka mengambil keputusan sambil lewa (short-term).

Justeru, pemberian kad kredit oleh ibu bapa kepada anak-anak perlu dielakkan kerana dilihat bahawa perkara ini tidak banyak mendidik anak-anak yang memerlukan close role model.

Penggunaan kad kredit adalah satu mekanisme menggalakkan masyarakat berhutang. Kehidupan masyarakat yang tertekan dengan pandangan orang sekeliling juga mendorong perkara ini berlaku.

Gaya hidup mewah terlampau dan tidak relevan juga menjadikan kad kredit sebagai jalan penyelesaian jangka pendek.

Pengguna tidak diingatkan tentang akibat jangka panjang sekiranya hutang kad kredit tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.

Di Usim, dilihat fenomena penggunaan kad kredit di kalangan pelajar masih rendah. Hal ini mungkin kerana majoriti pelajar daripada kalangan keluarga golongan sederhana dan menengah.

Walau bagaimanapun, para pelajar sentiasa diingatkan tentang perancangan kewangan yang betul supaya tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain sekiranya berlaku masalah berpunca perancangan kewangan yang salah.

“Nasihat saya, berpada-pada menggunakan kad kredit. Elakkan masalah yang berpunca daripada sekeping kad plastik yang bisa menjadikan anda muflis!,” katanya.

Mudah dan efisien

Mahasiswa Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam, Usim, Hamim Musa, 20, berpandangan, kepentingan kad kredit kepada mahasiswa pada masa kini merupakan satu nilai tambah positif yang mana akan membolehkan mereka mengendalikan transaksi wang dengan mudah, cepat dan efisien.

Selain itu, ia juga melatih diri untuk bijak berbelanja sekali gus melatih penuntut untuk membuat pengurusan kewangan dengan baik.

Hamim berkata, mahasiswa menggunakan kad kredit atas sebab-sebab tertentu. Antaranya, mahasiswa lebih terdorong untuk berbelanja secara online dek kerana kekangan masa dan kesibukan kehidupan universiti mereka.

Dengan penggunaan kad kredit, ia dapat menjimatkan masa seseorang mahasiswa itu untuk berbelanja, di mana mereka tidak perlu hadir ke tempat tersebut dan membayar secara tunai.

Mereka dengan mudah boleh menyelesaikan transaksi dengan menggunakan nombor siri yang berada pada kad kredit untuk membuat pembayaran. Antara urus niaga yang dilakukan adalah seperti pembelian barangan dan tiket penerbangan secara online dan lain lain.

"Selain itu, penggunaan kad kredit dalam kalangan mahasiswa juga ada penting bagi mereka yang menetap di luar negara. Ini kerana, kebanyakan negara-negara maju dan membangun menggunakan kad kredit dalam hampir kesemua urusan jual beli mereka. Kad kredit ini tidak hanya tertumpu kepada penggunaan tertentu tetapi termasuk juga pembayaran menaiki bas, tren, kereta api, teksi dan kedai runcit," katanya.

Menurut Hamim, penggunaan kad ini ada baik dan buruknya. Ia bergantung kepada diri masing-masing untuk menggunakan kad tersebut dengan bijak.

"Saya melihat, kewujudan kad kredit ini adalah satu medium yang diperkenalkan untuk memudahkan pengguna berbelanja tanpa mempunyai tunai di tangan, akan tetapi penggunaannya perlulah dirancang dan diteliti supaya ia dapat memberikan manfaat setimpal kepada pengguna.

"Pengurusan kredit yang lemah dan membazir boleh menyebabkan penggunanya jatuh bankrap atau muflis. Oleh itu, pengurusan kewangan dan perbelanjaan yang bijak perlu dipraktikkan supaya nasib yang tidak diingini berlaku," jelasnya.

Kepada mahasiswa yang menggunakan kad kredit, nasihat dan bimbingan oleh individu berpengalaman adalah penting untuk memastikan perbelanjaan dan kadar pengeluaran wang anda sentiasa terkawal.

Antara cara untuk membelanjakan kad kredit penuntut secara bijak adalah dengan menetapkan had bagi jumlah transaksi yang boleh dibuat dan hanya menggunakannya sebagai back up atau pada kecemasan.

Juga, hanya menggunakan satu jenis kad kredit, menggunakan untuk mendapatkan ganjaran bonus di stesen minyak dan untuk perbelanjaan tetap mahasiswa itu sendiri.

Beli barang keperluan sahaja

"Disebabkan mahasiswa tak punya pendapatan tetap, mereka seharusnya berbelanja secara berjimat cermat. Hanya perlu beli barang yang diperlukan seperti alat tulis atau bayar kos makanan serta penginapan.

"Mahasiswa perlu mengelakkan daripada membeli buku rujukan yang mahal sebab kita boleh meminjam buku berkenaan di perpustakaan sedia ada. Cadangan saya untuk mahasiswa ialah mereka boleh mencatat setiap belanjawan di dalam buku setiap hari dan ini membolehkan kita peka terhadap belanjawan sendiri dari semasa ke semasa seperti yang telah saya lakukan sejak dari sekolah menengah," kongsi Winson Lam Keh Jia, 20.

Mengulas tentang penggunaan kad kredit untuk menyelesaikan masalah kewangan, mahasiswa tahun kedua, Kejuruteraan Kimia, UM ini berkata, ia merupakan cara yang tidak rasional. Hal ini kerana, seseorang itu akan mudah berbelanja berlebihan dan berbelanja atas kemampuan diri apabila menggunakan kad kredit.

"Jika mahasiswa berdepan masalah kewangan, anda dinasihatkan berbincang dengan ibu bapa tentang masalah yang dihadapi. Berbanding dengan orang lain, ibu bapa lebih rapat dengan kita. Mereka akan memberi cara penyelesaian yang paling sesuai untuk kita," katanya dengan menambah mahasiswa tidak sepatutnya menggunakan kad kredit kerana ia akan memudahkan penuntut membeli sesuatu yang kosnya mahal. Sebagai mahasiswa, anda cuma perlu fokus pada perbelanjaan yang tertentu sahaja seperti kelengkapan pengajian, makanan dan yang berkaitan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Pelari solo dari Kedah, Nasir Abas, 62, berlari lagi buat kali kelima bagi rekod peribadinya sejauh hampir 450 kilometer sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60, pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Sokongan menjayakan kempen World #QuranHour semakin menggalakkan, diterima daripada pelbagai lapisan tidak terkecuali syarikat perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berlandaskan syariah, Takaful Ikhlas Berhad.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.