PERNAH gagal peringkat awal pengajian Master, penyelia pula meninggal dunia akibat kemalangan.

Memiliki sekeping Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) daripada Imperial College London – salah sebuah universiti terbaik di dunia – sememangnya mengundang perasaan bangga tidak terhingga.

Apatah lagi, jika anda berusia 29 tahun. Itulah keghairahan yang menguliti perasaan Dr Hazeeq Hazwan Azman - pemegang PhD dalam jurusan Buangan Biojisim (biomass waste).

Timbalan Dekan Pusat Pembangunan Pengajian Asasi (CDFS) Universiti Selangor (Unisel) itu mengakui sering mengundang pertanyaan asas: “Bagaimana anda boleh habiskan PhD dalam masa singkat?”

Menurutnya lagi, di sebalik rasa bangga memiliki PhD tersebut, ingatan Dr Hazeeq masih segar terhadap detik cemas sepanjang belajar di Imperial College London.

“Sebenarnya ramai menyangka hidup begitu mudah buat saya. Maklumlah, saya ada PhD pada usia 29 tahun. Sedang cerita jerih menyudahkan PhD, cukup banyak. Jadi, tak ramai berpeluang seperti saya iaitu memiliki PhD daripada salah sebuah universiti terbaik di dunia.

“Tetapi saya berdepan pelbagai ranjau sebenarnya. Bermula dengan kesilapan kecil iaitu saya buat direct PhD tanpa memiliki Ijazah Sarjana (Master) pada 2011. Selepas lulus Ijazah Sarjana Muda Indusri Bioteknologi Unisel, saya terus terbang ke Imperial College London.

“Saya langsung tak sangka Jabatan Kimia Imperial College London mempunyai polisi tersendiri iaitu calon PhD harus mempunyai Master. Akhirnya saya terpaksa ambil Master demi memenuhi syarat ditetapkan Imperial College London,” katanya.

Diuji musibah

Tidak cukup dengan itu, Dr Hazeeq sekali lagi diuji musibah. Penyelianya, Dr Judit Nagay – salah seorang tokoh akademik terkemuka di Britain - meninggal dunia akibat kemalangan kereta elektrik pada peringkat awal pengajian Master.

“Insiden ini memang memberi impak terbesar kepada saya. Saya pada tahun pertama Master waktu itu. Saya juga satu-satunya pelajar Malaysia di dalam kelas tersebut. Selebihnya daripada Singapura, China, Azerbaijan, Australia, Norway, Perancis dan Britain.

“Dalam masa singkat, saya perlu membuat keputusan rentetan insiden kematian penyelia. Saya juga perlu tukar kepakaran saya daripada bidang biologi kepada kimia. Akhirnya saya berjaya tamatkan Master sekalipun gagal beberapa kertas pada peringkat awal pengajian,” imbasnya.

Dr Hazeeq mengakui kegagalan pada peringkat awal pengajian Master sangat memberi kesan kepada dirinya.

“Saya dapat CGPA 3.93 ketika menuntut di Unisel sehingga dianugerahkan Anugerah Canselor. Saya tidak pernah gagal dalam peperiksaan sebelum ini. Saya hilang keyakinan secara mendadak apabila gagal beberapa kertas pada peringkat Master,” katanya.

Terhenti menulis tesis

Bagaimanapun, beliau mengakui dugaan terbesarnya adalah ketika membuat tesis PhD rentetan disahkan mengidap penyakit Ulceritis Colitis (UC).

“Saya hilang banyak darah ketika buang air besar. Akibatnya berat badan saya turun mendadak. Saya juga perlu berulang alik ke hospital. Kehilangan berat badan dan badan jadi lemah. Penyakit ini menyebabkan saya terhenti menulis tesis selama tiga bulan.

“Tapi kuasa ALLAH, tiada siapa mampu menafikannya. Saya tidak putus berdoa dan saya mampu menghabiskan tesis termasuk mengharung sesi viva. Akhirnya saya berjaya catat rekod muncul antara anak Malaysia yang dapat PhD pada usia 29 tahun daripada Imperial College London.

“Saya berasa sangat bangga dengan kejayaan ini. Kepada pelajar muda di luar saya, saya ada beberapa nasihat. Antaranya, jangan paksa diri belajar secara membabi buta. Saya amalkan cara belajar secara bijak.

“Selain itu, kita juga perlu menangani tekanan secara bijak. Saya jadikan hobi menanam bunga ketika di Imperial College London. Saya rasa ini cara terbaik untuk tangani tekanan,” katanya berkongsi pengalaman dan kejayaan.

HALMI ABD SAMAD

Jabatan Pemasaran Universiti Selangor (Unisel)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-baru ini, Kelab Umno Medan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Medan (GPMS Medan) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) telah menganjurkan program dinamakan Sahur On The Road.
  • SUASANA agak gamat apabila satu demi satu bahan tulisan peserta dibacakan oleh penceramah dalam kursus Penulisan Berita Berkaitan Aktiviti & Program, anjuran Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, 8 Jun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.