BUKIT MERTAJAM - Dalam usaha meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, Politeknik Seberang Perai (PSP) memeterai kolaborasi bersama 10 industri terbaik termasuk institusi akademik di Pulau Pinang semalam.

Antara 10 industri itu termasuk PKT Logistics Group Sdn Bhd, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), UWC Holdings Sdn Bhd, Sandisk Storage Malaysia Sdn Bhd dan Toray Group Malaysia.

Selain itu, turut menjalinkan kerjasama DGM Support (M) Sdn Bhd, Analog Devices Sdn Bhd, Nisa Bumi Resources, Ezri & Co Peguam Bela dan Peguam Cara dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan industri di negeri ini berikutan mahu memastikan graduannya tidak akan berdepan dengan masalah mendapatkan pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Berikutan itu katanya, program dan pengajian yang ditawarkan di PSP kesemuanya mempunyai hubung kait dengan industri seiring dengan permintaan masa kini.

“Kerjasama formal di antara PSP dengan industri membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak bagi memperkukuhkan program akademik selain memastikan graduan keluaran PSP berkemahiran tinggi dan menjadi tumpuan industri apabila mereka tamat belajar kelak.

“Mengikut rekod setakat ini, peratusan kebolehpasaran graduan kita mencapai tahap 95 peratus yang mana hampir keseluruhannya memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar yang hasilnya adalah melalui kerjasama industri yang dijalankan,” katanya ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi (COC) bersama 10 industri terbabit.

Majlis menandatangani COC berkenaan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera, Datuk Dr Muhammad Farid Saad dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Kebolehpasaran, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Zainah Rujihan.

Dalam pada itu, Muhammad Farid berkata, kerjasama seperti itu perlu dipertingkatkan dengan tidak hanya menumpukan politeknik sahaja tetapi turut membuka peluang kepada kolej lain untuk meneroka bidang industri yang semakin pesat di negeri ini