LAZIMNYA kecederaan trauma sendi jari dirawat dengan kaedah konvensional seperti anduh atau regangan pasif. Walau bagaimanapun, kecederaan trauma yang kompleks mungkin tidak boleh diuruskan dengan berkesan melalui kaedah biasa. Oleh itu, alat bantu regangan luaran boleh digunakan untuk jari tangan yang cedera bagi menjalani pemulihan bagi mengelakkan berlakunya kontraksi kekal pada jari tersebut.

Sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya telah menghasilkan sebuah inovasi yang mampu menghalang kekakuan atau kontraksi kekal pada sendi jari selepas trauma. Walaupun alat bantu regangan untuk jari telah sedia ada di pasaran, namun inovasi ini membenarkan regangan dibuat untuk lebih dari satu jari pada masa yang sama.

"Inovasi ini menyediakan satu mekanisme yang mudah bagi jari-jari yang tercedera untuk diregangkan pada daya yang ditetapkan oleh pakar perubatan pemulihan, agar jari-jari tersebut kembali mencapai julat pergerakan jari yang normal,” jelas Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, ketua kumpulan penyelidik yang menghasilkan inovasi ini.

Alat bantuan ini juga menawarkan kestabilan tambahan kepada jari yang cedera dengan menetapkan jari yang cedera kepada komponen alat dengan kukuh menggunakan skru. Ini secara tidak langsung melindungi jari daripada pergerakan yang tidak disengajakan atau mendadak, seperti perlanggaran fizikal dengan objek yang boleh memburukkan lagi kecederaan.

“Selain dari kelebihannya yang mampu digunakan untuk berbilang jari, alat ini juga direka bentuk untuk digunakan pada berbilang sendi. Setiap satu sendi yang terlibat pada jari yang tercedera boleh dilaraskan pada daya yang tertentu, bergantung pada tahap kecederaan dan tahap rawatan pemulihan yang diperlukan,” tambah Herman Shah Abd Rahman, penyelidik yang sama-sama mencipta inovasi ini.

Prosedur menggunakan alat ini juga mudah, dan boleh dilaksanakan oleh jurupulih anggota tanpa latihan khusus yang panjang. Pelarasan sudut alat ini boleh dibuat secara tepat di antara 0 hingga 60 darjah, dan mampu mengelakkan kecederaan pada tendon di sendi yang terlibat.

Hasil penyelidikan ini pernah memenangi anugerah antarabangsa di British Invention Show, dan reka bentuk alat ini telah pun dipatenkan. Alat ini boleh didapati pada harga sekitar RM3,000.

Maklumat lanjut mengenai inovasi dan penyelidikan ini boleh didapati daripada Herman Shah Abd Rahman di herman.shah@um.edu.my.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.