PROGRAM Siswa Sihat (Prosis) merupakan program bertemakan Siswa Sihat, Siswa Cergas, kerjasama Human Aid Malaysia bersama kelab/persatuan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seremban iaitu GPMS, MPP, CASS dan BACAS dalam menyertai program dinamakan Let’s Give a Hand - hulurkan tangan, ringankan beban Rohingya 2.0.

Program ini bermula pada 18 Mac 2017 dan berakhir dengan majlis penutupan di Human Aid Centre di Selayang Baru, Selangor pada 22 Ogos 2017.

Diketuai Presiden Prosis selaku Pengarah Projek, Nur Aliff Husniesham Husni dengan bantuan 40 mahasiswa dan lima pegawai pengiring, program Rohingya 2.0 ini memberi peluang kepada mahasiswa UiTM kampus Seremban menyertai aktiviti kemanusiaan dengan memberikan sumbangan berbentuk akademik dan aktiviti dalam kumpulan bersama anak-anak pelarian Rohingya di Malaysia.

Di samping itu, melalui misi ini juga mahasiswa-mahasiswi dan pihak UiTM bukan sahaja dapat membina jalinan mesra dan hubungan sosial yang lebih akrab bersama badan bukan kerajaan (NGO) dari Human Aid, bahkan lebih bermakna lagi kerana mereka turut berpeluang menjalankan kerja-kerja kebajikan bagi meringankan beban pelarian Rohingya menjalani kehidupan seharian di sini.

Penglibatan mahasiswa-mahasiswa UiTM Seremban di dalam program ini dibahagikan kepada lima sesi di mana pada setiap sesi, mereka akan bergilir-gilir mengikut kumpulan mahasiswa dan pegawai pengiring bagi membolehkan mereka merasai pengalaman sepanjang program berlangsung.

Pelbagai aktiviti dilakukan sepanjang program ini, antaranya aktiviti pembelajaran, kreatif dan interaktif, pengagihan makanan, iftar bersama anak-anak etnik Rohingya dan pemberian sumbangan dari pihak kampus warga UiTM Seremban.

Aktiviti pembelajaran merupakan antara yang amat dititikberatkan melibatkan tiga subjek asas iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik kepada 60 anak-anak Rohingya di peringkat pra sekolah, rendah dan menengah.

Walaupun masyarakat Rohingya ini telah menetap di Malaysia, namun pendedahan sejarah Malaysia amat kurang dalam kalangan mereka. Justeru, mahasiswa UiTM Seremban mengambil kesempatan ini untuk mencurahkan ilmu berkaitan kepada mereka seperti asal-usul Malaysia, konsep Raja Berperlembagaan serta kronologi tampuk pemerintahan perdana menteri bermula dari Almarhum Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Najib Razak serta pencapaian dan pembangunan negara.

Terap sikap prihatin

Mewakili peserta program, Nur Aliff Husniesham berkata, mahasiswa-mahasiswa di universiti perlu bersikap terbuka dan peka terhadap isu-isu semasa.

"Kalangan mahasiswa juga perlu memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti kesukarelaan hingga menjadi sebuah budaya dalam kalangan mahasiswa universiti," katanya.

Selain daripada aktiviti akademik, aktiviti interaktif dan kreatif juga dijalankan oleh kumpulan mahasiswa sebagai aktiviti berkumpulan bersama anak-anak Rohingya seperti pembuatan origami untuk digantungkan di dalam kediaman mereka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Human Aid, Badariah pula berkata, usaha murni UiTM Seremban patut dijadikan contoh kepada IPT-IPT lain.

"Bukan sahaja menghulurkan bantuan dari bentuk wang ringgit, malah bantuan berbentuk pendidikan  yang berterusan kepada anak-anak pelarian Rohingya di sini,” ujarnya.

Di samping program ini dapat membentuk gerakan mahasiswa kampus yang prihatin dalam isu semasa, ia juga menerapkan sikap keprihatinan dan kesedaran akan misi kesukarelaan ini dalam diri mahasiswa.

Para mahasiswa juga dapat mengenal pasti masalah dan keperluan yang diperlukan oleh mangsa pelarian. Secara tidak langsung ia juga dapat merapatkan ukhuwah antara mahasiswa UiTM Seremban bersama warga setempat dan menjadi kayu ukur kepada mahasiswa IPT-IPT lain akan program kemanusiaan seperti ini.

* Aishah Nadirah Mohamed Alauddin, (Unit Komunikasi Korporat UiTM Seremban)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Darul Quran mencatatkan sejarah apabila mengembangkan program Sijil Asas Tahfiz al-Quran dengan kemasukan pelajar saudara baharu daripada bangsa India, Cina, pribumi Sabah dan Sarawak Orang Asli.
  • SERAMAI 200 pelajar dari Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak) telah menyertai program gotong-royong perdana Himsak di Tanah Perkuburan Bukit Chenda, Gunong, baru-baru ini.
  • MENDAKI gunung kini antara aktiviti riadah yang menjadi kegemaran golongan remaja dan belia terutama penuntut universiti.
  • Inovasi kapsul di ekstrak daripada daun gelenggang untuk merawat sembelit yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah memenangi Anugerah Terbaik Kategori Pelajar dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) 2018.
  • Politeknik Kota Bharu akan melaksanakan program outreach menggunakan pelajarnya dalam usaha menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pengajian teknikal di institusi itu.