KUALA KANGSAR - Kolej Komuniti Chenderoh sekali lagi memberi peluang kepada 12 guru sekitar Kuala Kangsar untuk mendapat bimbingan cara-cara membuat roti melalui kursus pendek yang diadakan, baru-baru ini.

Pensyarah Kulinari, Fakhriah Husna berkata, kumpulan guru ini mudah dibentuk memandangkan mereka mempunyai minat dalam ilmu pembuatan roti.

Menurutnya, paling penting dalam kursus selama separuh hari ini, mereka didedahkan dengan bahan-bahan yang digunakan berserta teknik dan sukatan yang betul dalam mengadunkan bahan supaya hasilnya menjadi.

“Kami bersedia membantu sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu ini sama ada datang ke kolej atau di luar asalkan ada tempat serta kemudahan yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik, Mohd Mohadir Harun berkata, pihak kolej menyediakan kemudahan termasuk tenaga mahir kepada masyarakat setempat untuk datang belajar.

Katanya, kursus seperti itu bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang pembuatan roti kepada golongan berminat.

“Ia sekali gus diharap dapat menjadi sumber pendapatan tambahan golongan tersebut,” katanya.