BELIAU merupakan pencetus awal saranan Graduate on Time (GOT) sebelum diuar-uarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta IPTA/S seluruh negara. Beliau juga pencetus fenomena 'Tulis Tesis Cepat' serta perintis perisian MENDELEY dalam kalangan pascasiswazah Malaysia dalam dan luar negara.

Berikut adalah hasil wawancara bersama Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib, yang slogan GOT cetusannya dilihat telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pascasiswazah.

 

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan GOT?

GOT adalah satu sasaran supaya pelajar pascasiswazah yang mengambil program sarjana dan kedoktoran (PhD, DBA dan setaraf) dapat menamatkan pengajian mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Pengajian peringkat sarjana biasanya mengambil masa dua dan tiga tahun manakala peringkat kedoktoran pula antara tiga dan empat tahun, bergantung kepada institusi pengajian tinggi yang menawarkan program yang diambil.

 

Kenapa GOT kini menjadi satu yang digembar-gemburkan?

Pembiaya biasiswa seperti JPA dan MARA telah mula mengetatkan syarat supaya calon yang mereka biayai menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. 

Calon tidak akan diberikan pembiayaan tambahan malah boleh ditamatkan kontrak dengan institusi yang menghantar mereka jika gagal menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. 

Semua ini adalah langkah berjimat di samping sebagai satu 'amaran' supaya pelajar pascasiswazah serius dan fokus menamatkan pengajian masing-masing tanpa alasan yang wajar untuk melengah-lengahkannya. 

 

Adakah terdapat isu yang menjadi perbahasan dalam kalangan pascasiswazah?

Terdapat beberapa isu. Calon PhD sepenuh masa misalnya hanya boleh membentangkan proposal pada peringkat jabatan pada Semester Ketiga dan tentulah sesuatu yang sukar untuk calon menghabiskan pengajian dalam tempoh tiga semester yang berbaki. Berikut adalah isu-isu yang sempat saya senaraikan berkaitan GOT yang menjadi perbahasan dalam kalangan calon program ijazah sarjana dan mahupun kedoktoran.

a. Terdapat universiti terutama di luar negara yang menawarkan program kedoktoran untuk empat tahun seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran sedang biasiswa hanya ditawarkan kepada calon untuk tempoh tiga tahun. Sudah tentulah calon akan menghadapi kesulitan dan mungkin bekerja untuk menampung perbelanjaan. Situasi ini akan menyulitkan lagi mereka untuk GOT. 

b. Wujud ruang penantian viva yang memakan masa berbulan-bulan sehingga calon yang berjaya menghantar tesis lebih awal untuk GOT akhirnya hanya mendapat keputusan untuk graduate di luar tempoh pengajian. Bukan itu sahaja, ada kes calon menerima laporan viva selepas beberapa bulan viva berlangsung.

c. Terdapat hal-hal luar kawal yang tidak memungkinkan calon menamatkan pengajian dalam tempohnya seperti proses menjalankan eksperimen di makmal yang lama, calon jatuh sakit, pertukaran penyelia, kesukaran mendapat sampel kajian, sampel yang tercemar dan masalah melibatkan instrumentasi. 

 

Apakah yang boleh dicadangkan bagi mengurangkan isu berkaitan GOT?

Terdapat banyak isu yang perlu diteliti oleh pelbagai pihak, antaranya: 

a. Universiti tempatan dan pihak KPT perlu menjadikan GOT satu proses melibatkan semua pihak di semua peringkat, bermula pusat pengajian siswazah atau sekolah siswazah, fakulti, jabatan, institut hinggalah kepada penyelia. GOT bukan saranan yang semata-mata diletakkan ke atas usaha calon sahaja. Dalam lain perkataan, perlu ada perubahan menyeluruh dalam sistem yang dapat membantu melancarkan pengajian peringkat pascasiswazah.

b. Jawatankuasa penyeliaan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat tambahan tanpa sebarang alasan kukuh seperti menetapkan proposal mesti mencapai ratusan muka surat atau meminta calon membaca dahulu ratusan artikel tanpa tujuan jelas dan munasabah. 

c. Perlu diwujudkan saluran untuk calon merujuk jika wujud sebarang isu atau masalah berbangkit yang melibatkan hubungan penyelia-pascasiswazah.

d. Menilai semula definisi GOT yang dirujuk kepada tarikh penerimaan surat pengesahan dari Senat. Namun, GOT pada hemat saya lebih wajar diberikan pada tarikh calon lulus viva!

e. Perlunya usaha meningkatkan keberkesanan penyelia sepanjang penyeliaan calon serta menangani isu-isu mengeksploitasi masa dan tenaga calon untuk kepentingan penyelia. Ini termasuklah penyelia menggunakan dapatan kajian calon sebagai dapatan kajiannya sendiri untuk memasuki pertandingan atau pameran malah penyelia meminta namanya diletakkan sebagai pengarang utama artikel yang ditulis oleh calon hasil dari kajian sarjana mahupun PhD.

f. Wujud pendapat yang menganggap GOT bukan satu idea yang baik. Bagi mereka, pengajian yang baik mestilah memakan masa yang lama supaya mematangkan calon. Ada pelajar yang diminta menyiapkan proposal sehingga ratusan muka surat dengan harapan calon akan lebih matang. Maka berlarutanlah sehingga 3, 4 semester calon menghabiskan masa hanya tertumpu kepada ‘menyempurnakan’ proposal sedang proposal hanyalah satu ‘blue print’ yang ringkas tetapi lengkap yang boleh sahaja disiapkan dalam satu semester. 

g. Penyeliaan adalah satu keperluan sebagai panduan kepada calon. Kecanggihan komunikasi membolehkan penyeliaan berlaku tanpa perlu kerap bersemuka. Medium seperti e-mel, WhatsApp dan Facebook, memberikan ruang tambahan komunikasi dua hala antara penyelia dan calon. 

 

Apakah harapan Dr dalam isu GOT ini?

GOT perlu dilihat sebagai pemangkin kepada calon untuk fokus dan berusaha menamatkan pengajian dengan menghasilkan penulisan, penerbitan dan kajian yang berkualiti. Namun, saranan yang baik ini bukan hanya terletak di bahu calon, sedang kejayaannya juga bergantung secara signifikan kepada sistem di peringkat pengurusan dan penyeliaan.

Ikuti ulasan lanjut beliau di www.facebook.com/othman.talib atau www.drotspss.blogpot.com kerana isu-isu di atas adalah isu bersama yang perlu diteliti dan dilakukan penambahbaikan oleh semua pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan universiti supaya GOT tidak menjadi hanya satu mitos!