BAYANGKAN senario ini: telefon anda berbunyi menandakan ketibaan mesej daripada grup WhatsApp rakan sekolah lama. Anda lihat ada sebuah imej menunjukkan sesuatu yang aneh dan sukar dipercayai, namun ia datang daripada rakan anda sendiri. Mahu percaya atau tidak? Mahu kongsi atau tidak?

Adakah ini senario biasa anda alami? Bagaimana pula jika imej yang dikongsi mempunyai unsur jenayah? Adakah perlu kita memaklumkan kepada pihak berkuasa? Bagaimana pula kita pastikan kesahihan imej yang diterima?

Kepakaran untuk menentukan kesahihan sesuatu imej digital, terutamanya yang mempunyai unsur jenayah, dilakukan para profesional di dalam bidang dinamai forensik imej digital. Bidang ini merupakan sesuatu yang baharu, dan di Malaysia telah dipelopori sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya.

“Dalam sesebuah kes jenayah yang memerlukan pembuktian ke atas barang kes, ia memerlukan pembuktian peralatan asal yang menghasilkan imej tersebut. Modul yang dibangunkan ini mampu mengenal pasti sumbernya pada tahap ketepatan melebihi 90 peratus," kata ketua penyelidiknya, Dr Ainuddin Wahid Abdul Wahab, yang juga Timbalan Dekan Ijazah Dasar FSKTM.

Inovasi dinamakan AInquire ini mampu mengesan peralatan asal, sama ada kamera digital, pengimbas, atau telefon pintar, yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu imej digital, biar pun setelah dimanipulasi perisian grafik komputer.

Penggunaan perisian yang semakin mudah, termasuklah menggunakan aplikasi telefon pintar, menghasilkan peningkatan dalam kes penghasilan imej digital baru yang boleh mencerminkan sesuatu secara positif atau negatif, bergantung kepada niat si pengedit imej digital asal.

“Jika niatnya adalah negatif, maka ada kemungkinan imej digital baru yang terhasil boleh digunakan di dalam kes jenayah. Dalam hal ini, AInquire boleh membantu pihak penyiasat menjalankan tugas,” kata Dr Ainuddin.

Keberkesanan modul yang dibangunkan adalah kerana asas teori kepintaran buatannya yang mampu memadankan imej yang terhasil dengan sesuatu yang unik dari kamera atau telefon pintar asal yang menghasilkannya. Malah modul yang dibangunkan juga mampu memadankan imej yang terhasil biar pun setelah imej tersebut diedit menggunakan perisian grafik, atau pun dimampatkan failnya.

Penyelidikan bidang forensik imej, yang bermula sejak 2010 ini, tidak terhenti di sini sahaja.

“Buat masa ini, kami sedang melakukan penyelidikan mengenai bidang forensik audio dan teknologi skrin hijau menggunakan pendekatan yang sama,” kata Dr Ainuddin.

Kumpulan penyelidik ini menerima pelbagai geran penyelidikan dari dalam dan luar negara melebihi RM200,000 dan pernah memenangi pelbagai pingat di persidangan ekspo inovasi di dalam dan luar negara, termasuklah pingat emas di ITEX Kuala Lumpur, dan perak di pameran ciptaan antarabangsa (SIIF) di Seoul, Korea. Inovasi ini juga telah dikurniakan paten yang memungkinkan penggunaannya secara komersil oleh mana-mana syarikat yang berminat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-baru ini, Kelab Umno Medan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Medan (GPMS Medan) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) telah menganjurkan program dinamakan Sahur On The Road.
  • SUASANA agak gamat apabila satu demi satu bahan tulisan peserta dibacakan oleh penceramah dalam kursus Penulisan Berita Berkaitan Aktiviti & Program, anjuran Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, 8 Jun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.