MUSIM pendaftaran pelajar-pelajar lepasan sekolah ke menara gading kini kembali. Pelbagai reaksi dan ekspresi terpancar di wajah mereka. “Malu bertanya sesat jalan.. usaha tangga kejayaan” adalah antara kata-kata azimat yang sering diungkapkan ibu bapa sebelum meninggalkan anak-anak mereka di menara gading.

Persoalannya, mampukah mereka yang terpilih ini berjaya menamatkan pengajian dengan segulung diploma atau ijazah? Formula atau tip berikut boleh dijadikan panduan.

Dekatkan yang positif

1. KUAT semangat dan kuat solat - Mahasiswa perlulah berjuang habis-habisan sepanjang mengikuti program-program ditawarkan. Hubungan dengan ALLAH SWT juga hendaklah digandakan dengan memperbaiki solat wajib dan 'top-up' dengan solat-solat sunat.

2. FIKIR luar kotak dan kritikal- Elemen ini penting terutamanya dalam menyiapkan tugasan diberikan pensyarah, dan juga semasa menjawab soalan kuiz, ujian dan peperiksaan akhir.

3. CEKAL - Ia perlu dalam membentuk sahsiah diri mahasiswa untuk menjadi lebih cemerlang dan luar biasa. Bangkit segera dan tebus kegagalan sekiranya keputusan kuiz, ujian atau peperiksaan semester pertama kurang memberangsangkan.

Elakkan yang negatif

1. MALAS dan malu – Perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia bukan sahaja menjadi punca kegagalan tetapi juga akan menyebabkan mahasiswa tidak mampu bersaing.

2. CUAI - Ia perlu diatasi terutamanya dalam menjawab soalan peperiksaan dan menyiapkan tugasan.

3. DENGKI dan dendam - Hapuskan sikap ini kerana boleh merosakkan hati dan otak. Ia menghalang proses perkongsian idea dan ilmu dilakukan secara efektif sesama rakan-rakan dalam kumpulan.

Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa niat, usaha, keyakinan dan tawakal yang berterusan. Tepuk dada tanyalah niat. Biar nampak biasa-biasa tetapi luar biasa. Jadilah mahasiswa yang cemerlang secara holistik dari aspek akademik, kemahiran insaniah dan rohaniah. Selamat maju jaya.

*Timbalan Dekan (HEPA), FPTP, UTHM Dr Md Asrul Nasid Masrom