PENUNTUT dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuktikan kehebatan dalam bidang inovasi dengan muncul pemenang (melalui inovasi dron) pada Hari Inovasi Universiti anjuran Kumpulan Airbus Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTeM yang diwakili penuntut dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berjaya menewaskan cabaran Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk dinobatkan sebagai juara.

Dekan FTK, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, sebanyak 20 buah universiti awam telah menyertai pertandingan itu yang bertujuan untuk memupuk dan mempromosikan semangat inovasi dalam kalangan mahasiswa.

“Pertandingan pertama kali diadakan itu juga bagi meningkatkan semangat dan minat siswa terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik terutama dalam bidang aeroangkasa,” ujar beliau.

Kemenangan itu menyaksikan UTeM membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta plak dan sijil penyertaan, manakala UM selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil penyertaan. UIA dan UTM masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat membawa pulang plak dan sijil penyertaan.

“Tahniah dan syabas kepada penuntut FTK yang telah berjaya mengharumkan nama universiti dalam pertandingan itu yang diharapkan akan menjadi perangsang kepada seluruh penuntut UTeM untuk terus mempamerkan kecemerlangan dalam bidang inovasi," katanya dengan menambah kemenangan itu sangat bermakna dan bertepatan dengan slogan FTK iaitu Menyerlah Jauh Dari Biasa.

INOVASI DRONE

Storm Octa Drone, dihasilkan tiga penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UTeM iaitu Muhammad Amirul Shah Md Ali Shah, 24; Muhammad Luqman Arif Azami, 24 dan Ida Nurfarhana Marzukhe, 21.

Penghasilan dron di bawah penyeliaan pensyarah FTK, Ahmad Fauzan Kadmin, 35, dan inovasi dibuat atas minat dan penyelidikan para penuntut terhadap teknologi Unmanned Aerial Vehicle Technology (UAV) selain memenuhi syarat-syarat pertandingan Hari Inovasi Universiti 2016 lalu.

Dron ini boleh digunakan untuk melakukan real time video surveillance, land surveying serta mampu mengangkut barang atau beban. Ia mempunyai lapan buah rotor dengan setiap rotor mampu menampung beban sebanyak +- 800 gram. Jadi, Storm Octa Drone ini mampu menampung beban sebanyak +- 6.4kg.

Selain itu, drone ini dikategorikan sebagai flexible multi-rotor platform di mana komponen-komponen yang digunakan di dalam dron boleh diubah suai mengikut keperluan tertentu.

Misalnya dalam pertandingan Airbus University Innovation Fun Day 2016, drone ini diubah suai untuk mengangkut penampung telur semasa perlumbaan dron peringkat pertama dan diubah suai sekali lagi untuk mengangkat glider atau fix wing ke ketinggian tertentu pada peringkat ketiga.

Dron ini mampu terbang sehingga ketinggian melebihi 50 meter, sejauh 10 km radius dan mampu maksima selama 15 minit.

Ahmad Fauzan berkata, peruntukan bagi pembinaan dron ini dibiayai sendiri dari ahli pasukan selain mendapat peruntukan dari geran-geran penyelidikan serta pihak fakulti.

Antara cabaran dihadapi adalah untuk menetapkan kemasukan kuasa masukan dan konfigurasi balancing drone bagi mendapatkan dron terbang dengan stabil dan mampu menjalankan tugasan-tugasan ditetapkan. Selain itu, cabaran lain adalah untuk mendapatkan komponen-komponen dron berkualiti tapi menawarkan harga murah.

Dalam pada itu, idea untuk menghasilkan dron ini terjana daripada kaedah brainstorming di antara ahli pasukan.

 Menurut Ahmad Fauzan, siswa teknologi kejuruteraan diajarkan kaedah ini bagi digunakan untuk menyelesaikan masalah serta semasa menjalankan projek. Tiga siswa dan pensyarah yang masing-masing mempunyai latar belakang kejuruteraan berbeza, menghasilkan idea-idea yang unik. Idea difokuskan kepada tiga ciri iaitu penggunaan features dan komponen yang rare seperti penggunaan pengangkut magnetik, kestabilan dron serta kemahiran pilot drone.

Dron yang pernah meraih anugerah perak pada Expo Penyelidikan dan Inovasi UTeM (UTEMEX) 2015 ini diharap mampu diketengahkan untuk digunakan bagi penghantaran barang-barang ke destinasi jarak yang lebih jauh selain mampu beroperasi di dalam air.

Ingin berkongsi produk inovasi unik dan menarik, e-mel gambar dan butiran maklumat kepada roshlawaty@sinarharian.com.my