MENARA gading. Itulah julukan diberikan kepada pusat pendidikan tinggi atau lebih dikenali dengan terma universiti. Gah penangannya. Hebat sangatkah universiti sampai digelar 'menara'? Ada apa dengan universiti?

 Sebagai tempat berkumpulnya para cendekiawan dari segenap pelosok, universiti sinonimnya menjadi tempat pembelajaran akademik aras tertinggi sesuatu profesion. Kontemporari, kebanyakan universiti dilihat seperti mengejar sistem kedudukan atau ranking. Sistem seperti The Times Higher Education, QS Top Universities dan Center for World University Rankings ini mengelaskan pelbagai universiti di dunia menurut metodologi pengelasan masing-masing. Kebanyakannya menggunakan petunjuk prestasi dalam bidang penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran graduan (employability) dan pengantarabangsaan.

Hasil pengelasan sistem ini, maka terlahirlah universiti ternama di dunia seperti Universiti Oxford, Cambridge dan lain-lain. Persoalannya, relevankah metodologi pengelasan tersebut di semua tempat di seluruh dunia? Sedangkan negara-negara di dunia juga telah dikelaskan mengikut pengelasan tersendiri seperti negara maju dan negara membangun. Waima Singapura yang lokasinya cuma bersebelahan, mempunyai status yang tidak sama dengan Malaysia (Singapura merupakan negara maju manakala Malaysia masih dalam kategori negara membangun).

Kehendak dan keperluan sesebuah negara adalah berbeza-beza mengikut status dan ekonomi masing-masing. Universiti pula perlu sealiran visi yang digariskan kerajaan negara tersebut.

Penulis mengambil penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi sebagai analogi. Kajian yang hebat dan bermanfaat besar mendominasi jurnal-jurnal seperti ini (selain metodologi dan penulisan yang baik oleh pengkaji). Namun, bagaimana pula ilmu yang sangat bermanfaat itu boleh dinikmati dan dibaca sejumlah manusia sedangkan akses kepada jurnal tersebut diletakkan had tertentu?

Penulis tertarik pada sistem pengelasan World Top 20 Poll Project yang digembleng New Jersey Minority Educational Development (NJ MED). Bermula pada 2013, projek ini digariskan dua indikator iaitu ekonomi (melalui kriteria inovasi, penyelidikan dan penerbitan) dan hubungan sosial (melalui kriteria fasiliti, pengajaran, employability dan tanggungjawab sosial). Apa yang membezakan sistem ini dengan yang sedia masyhur adalah ia menekankan tanggung jawab sosial. Inilah yang membezakan antara keperluan negara membangun dan negara maju. Mungkin bagi negara maju, kewangan bukan lagi satu kekangan, maka reputasi dan kehormatan universiti menjadi senjata untuk bersaing di pentas global. Namun, bagi negara membangun dan berstatus lebih rendah, aspek ekonomi perlu dititikberatkan, setiap sen dibelanjakan ada nilainya.

Takut diperlekehkan, inilah dilema sebenar bagi universiti yang baru mencari arah dan matlamat utama penubuhan masing-masing. Bagi yang jelas peranan hakiki sesebuah universiti, pasti tidak akan gusar walau tidak pernah tersenarai. Dalam pada sesetengah universiti begitu ghairah mengejar sistem ranking, tidak kurang juga universiti yang percaya pada kredibiliti mereka sendiri dalam membantu negara masing-masing.

Sama ada mengejar ranking atau tidak, ada baiknya difokuskan isu apa yang boleh dinaiktarafkan. Aspek bagaimana universiti menjalankan peranannya, penyebaran ilmu bukan sahaja kepada penuntut, malah juga kepada masyarakat. Penyelidikan yang berorientasikan perkembangan ilmu dan penjanaan ekonomi komuniti setempat harus diperkasa. Hasil kajian pula bukan sahaja diterbitkan bagi bacaan cendekiawan dalam bidang berkenaan, malah perlu disebarkan kepada rakyat. Walaupun sumbangan sekecil itu, penulis yakin ia mampu membawa impak yang besar terhadap kesejahteraan hidup rakyat amnya jika dilakukan secara konsisten. Natijahnya, kehadiran universiti dalam sesuatu komuniti dan lokasi dialu-alukan oleh masyarakat sekeliling.

Penyelidikan perlu bertujuan murni, usah semata-mata untuk reputasi, lebih hebat jika dapat diaplikasikan terus kepada masyarakat sendiri. Apabila ramai pengkaji mencari teknologi, jangan lupa mengkaji bagaimana memupuk jati diri.

Kiriman;
Noor Hidayah Mohamad
Pascasiswazah Universiti
Kebangsaan Malaysia