BUKAN mudah menjadi ketua, sementelahan mengepalai satu projek atau program yang turut melibatkan komitmen daripada pelbagai pihak mahupun syarikat luar.

Namun, itulah yang harus dilalui Justin Tan Wei Jin, 22, mahasiswa tahun tiga jurusan Keusahawanan dan Innovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila diberi kepercayaan sebagai Ketua Pengarah Program UKM Career and Entrepreneurship Expo 2016 yang berlangsung April lalu.

“Cabaran yang dilalui adalah lebih kurang sama dalam setiap program. Mencari dana dan juga masa yang singkat. Mungkin sedikit berbeza bagi Career Expo kerana kita perlukan 4 sektor yang amat penting untuk melaksanakan program ini; pasukan yang kukuh, penyertaan syarikat, dana dan juga pengunjung. Jika mempunyai kekurangan dalam mana-mana sektor, maka tidak akan adanya ekspo ini.

“Cabaran lain adalah untuk membina satu pasukan yang akan bekerjasama sentiasa dan juga menyiapkan tugasnya dalam tempoh masa diberikan. Tetapi ada caranya untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam dan juga memotivasikan mereka untuk memberi komitmen yang baik dalam melaksanakan program. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk membuat kerja yang mereka tidak suka, bagi mereka memilih kerja yang mereka suka dan juga mendengar idea mereka.

“Bagi UKM Career and Entrepreneurship Expo 2016, kami mendapat pasukan yang cukup komited dan kukuh. Mendapat sebanyak 40 syarikat menyertai dan kehadiran lebih 3,000 pengunjung. Setakat ini, ia adalah program yang paling membanggakan bagi saya kerana telah berjaya dilaksanakan dan saya merupakan ketua pengarah program tersebut. Selain itu kami juga mendapat program terbaik yang dianugerahkan oleh Kolej Ibu Zain, UKM,” jelasnya berkongsi pengalaman.

SERTAI BANYAK AKTIVITI

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mendapat pendidikan awal di SK Taman Midah sebelum menamatkan persekolahan menengah di SMK Cochrane sehingga peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), juga seorang yang aktif dalam kokurikulum sejak dari bangku sekolah lagi.

“Saya memang seorang yang aktif dan juga suka menjadi seorang yang lain dari lain, ataupun dalam istilah bahasa Inggeris; to be different and to stand out from the rest. Pada mulanya, saya hanya berminat dengan sukan dan, oleh sebab sukan, saya mendapat peluang menjadi seorang ketua atau pun boleh dikatakan pemimpin,” katanya yang juga aktif sebagai pemain bola sepak dan bola tampar sekolah.

Di samping itu, keaktifan menyertai pelbagai aktiviti serta kecenderungan dalam bidang keusahawanan juga secara tidak langsung mendorongnya memilih jurusan Keusahawanan dan Innovasi kini.

“Sejak dulu lagi saya memang berminat dengan marketing, jualan, saham dan menjadi seorang pemimpin. Maka jurusan yang saya ambil sekarang amatlah sesuai dengan minat dan cita-cita saya.

“Pada mulanya, saya ingin bekerja ataupun memulakan perniagaan sendiri dan tidak mahu sambung pelajaran, tetapi selepas berbincang dengan ibu bapa saya, mereka berkata bahawa, ya, saya boleh membuat apa-apa sahaja tetapi saya perlu mendapatkan ijazah dahulu kerana jika saya tidak berjaya dalam bidang yang saya ceburi, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kelayakan dan pendidikan yang tinggi untuk mencari pekerjaan lain. Sampai hari ini, saya amat bersyukur kerana ibu bapa saya mengubah pemikiran saya dan saya juga sangat gembira berada di Universiti Kebangsaan Malaysia kerana aktiviti-aktiviti yang saya sertai banyak membantu dalam membina diri saya,” ujarnya.

PROFIL
- Anak kedua daripada tiga beradik
-Tahap pendidikan: SK Taman Midah 1 (UPSR 4A), SMK Cochrane (PMR 7A, SPM 5A 4B dan STPM 3.08)
Kepimpinan:
-Ketua Rumah Sukan 2011 (Tingkatan 5), 2013 (Tingkatan 6 Atas)
- President Quatermasters 2011
- Naib Presiden Majlis Pelajar Pra Universiti (2013)
- Pengawas sekolah
- Ketua Pengarah UKM Career and Entrepreneurship Expo 2016
- Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Ibu Zain, UKM (Pembangunan Kerjaya)
- Ketua Bahagian Marketing, UKM Career Expo 2015
- Participant of Asian Undergraduate Summit, NUS, Singapore 2015
- Ketua Pengarah Program Career Talk di Kolej Ibu Zain