KITA bakal menyambut hari kemerdekaan kali ke-61 tanggal 31 Ogos ini. Setiap tahun, negara kita pasti akan menyambutnya dengan penuh kemeriahan bagi memberi penghormatan dan pendedahan kepada generasi lama dan baharu tentang perjuangan para pejuang yang tidak ternilai buat negara.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, slogan ini dirasakan tepat untuk membawakan isu berkenaan cabaran pada hari ini dalam memantapkan jati diri mahasiswa selaku generasi muda agar sentiasa memelihara kedaulatan negara sekali gus mengekalkan identiti sesebuah bangsa.

Namun, yang menjadi persoalannya, sejauh mana jati ini mampu disemai dalam jiwa mereka dan adakah ‘bekalan’ sudah cukup untuk mereka mempertahankan negara sementelah pula ‘penjajahan’ boleh berlaku melalui pemikiran secara halus?

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Rosmadi Fauzi, mahasiswa atau generasi muda pada hari ini tidak sama dengan generasi muda 61 tahun lalu, yang merasai sendiri saat dijajah, gugup gentar apabila mereka yang berbahasa asing datang ke tanah air berbekalkan senjata di tangan.

“Erti patriotisme atau jati diri generasi muda pada waktu itu terbentuk melalui pengalaman fizikal dan mental yang ternyata berbeza dengan generasi muda masa kini. Dengan kata lain jati diri generasi muda 61 tahun yang lalu itu terbentuk dengan sendiri sebagai antibodi diri dalam membenci dan memusuhi anasir-anasir luar yang cuba untuk merobek kemerdekaan di samping sangat menghargai semangat kekitaan dalam negara.

“Jadi berbeza dengan mahasiswa atau generasi muda hari ini yang ternyata tidak pernah melalui zaman perit getir dijajah. Maka, tanpa pengalaman atau merasai sendiri era penjajahan, antibodi atau jati diri ini tidak terbentuk sendiri tetapi perlu disuntik! Kita memerlukan sejenis antibodi yang cukup kuat dan terus menerus bagi memastikan jati diri ini kekal setia di dalam jiwa generasi ini,” katanya.

Justeru, ‘bekalan’ ilmu perlu sentiasa diberikan dan dipertingkatkan kuasanya.

Pun begitu, beliau tidak menafikan ada segelintir mahasiswa menunjukkan daya juang yang tinggi dalam mempertahankan negara terutama di dalam situasi mewakili negara dalam sesuatu pertandingan di luar negara mahupun berada seketika di negara asing.

Tanggungjawab mempertahankan negara

Ditanya tentang penjajahan minda secara halus melalui ancaman globalisasi, politik dan sosial adakah boleh membawa kepada perubahan jati diri seseorang?

Jawab beliau, ‘peperangan’ mental atau minda ini mampu meragut jati diri secara halus apatah lagi menggunakan medium pengantara iaitu teknologi Internet di hujung jari.

“Ini yang paling bahaya jika suntikan jati diri tidak ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa akan lebih mudah terpengaruh dengan dakyah halus ini.

“Walau begitu, dari kaca mata seorang penganalisis politik dan pendidik, saya melihat sebahagian daripada mereka ini memang telah bersedia dan sedang memikul tanggungjawab dalam mempertahankan negara biarpun dari sekecil-kecil peranan. Ada di antara mereka berperanan di bahagian kepimpinan, pendidikan, pengurusan, pentadbiran serta pelbagai lagi bidang lain.

“Tak dinafikan juga, apabila generasi terlalu ‘manja’, mereka kurang peka terhadap adat dan budaya, lemah budi bahasanya, terlalu sibuk dengan diri dan penampilannya sehingga tidak kisah langsung terhadap negara ataupun tidak kisah sesama rakyat.

“Apa yang seharusnya kita lakukan adalah menterjemahkan semula konsep jati diri bangsa Malaysia yang ingin diterapkan di dalam jiwa semua bangsa Malaysia,” katanya.

Cari pengalaman luar kuliah

Justeru, untuk membentuk mahasiswa yang tinggi semangat cintakan negara, mereka ini perlu merasai sendiri pengalaman. Jati diri tidak boleh dibentuk hanya dengan duduk di dalam dewan kuliah, mereka perlu pergi merasai dan mengalami sendiri. Libatkan diri dengan program kemasyarakatan seperti misi bantuan bencana, misi bantuan kemanusiaan di negara-negara jiran yang susah, juga program kebajikan masyarakat seperti bantuan makanan kepada gelandangan.

Gunakan juga medium media elektronik seperti Facebook, WhatsApp, dan Telegram dalam suasana yang lebih kreatif dan dekat dengan jiwa mereka melalui penulisan, lukisan, grafik, video, muzik, animasi dan banyak lagi. Zahirkan juga peranan mereka ini melalui aktiviti yang mereka gemari seperti sukan ekstrem, larian amal, makanan serta karya-karya seni. Hati generasi muda ini perlu dicairkan terlebih dahulu untuk menimbulkan sifat ihsan sebelum menyubur hati mereka dengan baja-baja perpaduan dan semangat cintakan negara.

“Saya percaya generasi muda pada hari ini bukanlah tidak kenal sejarah tanah air sendiri, sebaliknya mereka tidak menghayati lalu melupai apa yang dipelajari. Mempelajari sejarah negara ini memerlukan penghayatan. Jika kita bentuk pelajar belajar hanya untuk peperiksaan, maka itulah yang terhasil. Kita memerlukan satu paradigma baru dalam pendidikan negara terutama dalam membentuk akhlak dan sahsiah unggul dari peringkat sekolah rendah lagi. Konsep yang diajar Rasulullah SAW semasa peringkat awal dakwah boleh diimplementasikan dalam pendidikan negara iaitu membentuk akhlak, keimanan, jiwa dan jati diri terlebih dahulu," jelasnya.

Malah beliau tidak menolak banyak peranan telah dimainkan oleh pihak universiti setiap tahun dalam menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dengan menjalankan pelbagai program sama ada di luar negara, dalam negara mahupun bersama pelajar-pelajar sekolah serta masyarakat umum.

“Semua program ini sedikit sebanyak telah menyuntik elemen patriotisme dalam diri mahasiswa. Namun, apa yang dilihat suntikan itu perlu dipertingkatkan lagi dosnya dengan pelbagai lagi elemen-elemen canggih atau lebih mesra dan dekat dengan jiwa mahasiswa. Apa yang cuba saya sampaikan adalah mengimarahkan lagi setiap program-program tersebut dengan muzik patriotik, tokoh negara, idea kreatif patriotik mereka serta kita sediakan mereka platform untuk berkarya patriotik dengan gaya moden mereka tetapi pantau dari aspek kedaulatan dan adab. Dengan itu tema “Sayangi Malaysiaku” terasa lebih dekat di hati mahasiswa generasi pelapis negara,” katanya