DAPAT anugerah cemerlang??? Macam tak percaya saja... Kalau zaman sekolah dulu dialah paling senyap dan sangat pemalu. Sudah rezekinya, dalam pada begitu pun dapat masuk universiti...

Pasti ramai pernah berdepan situasi orang begini. Rasa tak percaya apabila kawan masa sekolah yang 'kerjanya' diam sahaja dalam kelas, bila cikgu suruh membaca di depan suara pun tak kedengaran, kadang-kadang 'lemau' atau sangat pemalu hingga kalau boleh hendak duduk belakang tiang... tapi kini individu itulah yang dinobat graduan dan mahasiswa cemerlang.

Ada yang kita lihat begitu tekun belajar, sanggup bersengkang mata hingga awal pagi demi namanya hendak study, akhirnya dapat CGPA cukup-cukup makan saja. Pendek kata, dapat result biasa-biasa saja.

Dari pelajar biasa-biasa kepada mahasiswa cemerlang, apa rahsia sebenar mendorong kejayaan mereka? Ikuti perkongsiannya bersama penerima anugerah cemerlang pada hari konvokesyen masing-masing, dalam Kampus minggu ini.

Bukan mudah jadi cemerlang

Walau ada beruntung genius sejak dilahirkan, namun kejayaan tak datang bergolek

Seronok melihat para graduan menerima anugerah cemerlang di hari konvokesyen berlangsung akhir-akhir ini. Pastinya terdetik 'pandainya dia.. untunglah jadi orang pandai...'.

Namun, adakah bijak itu sudah sedia ada dalam diri sejak kecil, atau kita perlu berusaha untuk jadi orang pandai? Bagaimana jika mereka yang sebaliknya atau kita biasa sebut, orang biasa-biasa, adakah jika mereka kurang bijak, pemalu dan seumpamanya, mereka tak boleh berjaya dan jadi cemerlang?

Kampus merungkaikan persoalan ini dengan perkongsian bersama beberapa penerima anugerah mahasiswa cemerlang di hari konvokesyen masing-masing baru-baru ini.

Bagi penerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah iaitu anugerah tertinggi sempena Istiadat Konvokesyen ke-16 Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), Muhamad Syahizat Suhaimi, 25, berkongsi, secara semula jadi dia mengakui bukanlah seorang yang luar biasa atau cemerlang sejak kecil, malah perlu berhempas-pulas untuk memperbaiki diri.  

Menurutnya, sejak kecil dia merupakan kanak-kanak pasif, pendiam, pemalu, krisis kurang keyakinan diri yang melampau, tidak pernah ke hadapan dan banyak menyorokkan diri, apatah lagi untuk dipilih menjadi ketua.

"Di dalam ilmu psikologi, kes saya ini boleh digolongkan kategori manusia introvert. Ia berlanjutan hingga alam sekolah menengah. Namun, sejak masuk universiti (diploma pertama di UiTM), saya banyak didedahkan dengan perkara-perkara yang memaksa saya untuk menonjol di depan, walaupun bukan atas kerelaan diri kerana ia melibatkan arahan pensyarah bagi aktiviti atau kerja berkaitan tuntutan markah peperiksaan.

"Kemudian, semenjak menyambung pengajian di Kuipsas ini, banyak perubahan hingga saya juga tidak menyangka diri saya hari ini jika dibandingkan dengan dahulu. Semuanya bermula dengan kesedaran untuk mula kembali kepada Islam sebagai sumber inspirasi dan panduan hidup," kata graduan Diploma Dakwah Dan Pengurusan Kuipsas ini.

Menurutnya, dia memilih bidang pengajian Islam dengan niat utama iaitu untuk 'mencari diri', kerana mahu memperbaiki kelemahan serta kekurangan diri dan ingin membangunkan potensi diri dengan berpandukan inspirasi Islam.

Bermula semester pertama hingga enam di Kuipsas, banyak perkara dipelajarinya dalam membangunkan potensi diri yang tidak disedari sejak kecil.

"Berbalik pada anugerah ini, perkara utama bagi saya bukanlah mengejar kecemerlangan ini. Ia diberikan dan dinilai secara zahir oleh manusia. Sebaliknya, walaupun saya menerima anugerah ini, sebenarnya masih banyak kekurangan serta kelemahan saya lihat boleh diperbaiki lagi.

"Bagaimanapun, syukur kerana kurniaan ini mudah-mudahan dapat memberi semangat kepada saya terus berjuang memperbaiki diri dan meneroka peluang di peringkat seterusnya. Moga anugerah ini dapat menjadi hadiah buat emak ayah, keluarga, pensyarah, guru, rakan serta kenalan yang sentiasa menyokong," kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Berkongsi 'resipi' kejayaannya, Syahizat berkata, yang penting adalah berusaha memperbaiki hubungan dengan ALLAH SWT melalui istighfar, penyesalan, pengharapan, zikir serta taubat kepada-NYA.

Menurutnya, sentiasa melihat kekurangan kelemahan ada pada diri untuk menjadikan kita bersemangat memperbaiki hidup kita sebelum mati, melihat kelebihan yang ALLAH anugerah untuk kita teroka peluang-peluang ke arah kebaikan buat diri dan umat, memilih tokoh-tokoh Islam soleh sebagai inspirasi, tidak memandang rendah terhadap orang lain dan sentiasa muhasabah perjalanan kehidupan sebagai seorang manusia melalui petunjuk al-Quran serta as-sunnah Nabi Muhammad SAW.

Anak kepada pesara polis, Suhaimi Ismail dan suri rumah, Halimatul Saadiah Abdul Rahman ini berkata, selain itu, sudah semesti kejayaannya adalah berkat doa dan sokongan keluarga, tunjuk ajar pensyarah, guru, rakan serta kenalan.

Matlamat perlu jelas

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pengkhususan Bahasa Arab di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi,  Muhamad Naufal Badarudin, 24, berkata, Anugerah Khas Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (2017) dan Anugerah Khas Kepimpinan Institut Pendidikan Guru Malaysia (2017) diterimanya pada konvokesyennya baru-baru ini adalah di luar jangkaan.

Tidak menafikan bukan pelajar cemerlang sejak zaman persekolahan, menurutnya sebelum masuk ke IPG, dia seorang yang sering berasa sangat rendah diri.

"Bila masuk dunia IPT dan lihat dunia luar baru berkembang sikit. Anugerah yang dapat masa sekolah rendah dan menengah itu kebetulan. Tak sangka pula boleh dapat. Bila dikumpulkan rupanya banyak anugerah saya dapat selama ni.

"Bagi saya niat melakukan semua perkara kerana ALLAH, bukan kerana manusia, baik dari segi aktiviti bilik kuliah mahupun luar bilik kuliah. Hal ini termasuk semua aktiviti kuliah, kerohanian, kepimpinan, khidmat masyarakat, sukarelawan dan sebagainya.

"Dalam masa sama, resipi lain adalah fokus dengan setiap perkara kita lakukan dan pada peringkat permulaan perlu ada matlamat jelas. Seterusnya usaha ke arah matlamat tersebut juga perlu diperkemas dengan baik seperti konsep selalu saya amalkan, D-U-I-T iaitu doa, usaha, ikhtiar dan tawakal," kata graduan berasal dari Negeri Sembilan ini.

Tidak menafikan anugerah diperolehnya amat sukar diterima kerana perlu bersaing dengan 6,000 graduan lain seluruh negara kerana di Malaysia terdapat 27 kampus IPG, Naufal satu-satunya graduan yang mewakili IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Khas Konvokesyen.

Naufal berpendapat, untuk menjadi siswa cemerlang dan berjaya, ia perlu dipupuk dari kecil, manakala konsep dipegangnya siapa berusaha bersungguh-sungguh, akhirnya pasti berjaya.

"Keputusan tidak begitu penting, tetapi usaha ke arah keputusan tersebut adalah paling penting dan perlu diutamakan. Nasihat Naufal pada mahasiswa yang rasa rendah diri, tapi nak jadi cemerlang adalah keluar dari kepompong diri sendiri.

"Yakin dan percaya setiap dilahirkan di dunia ini adalah untuk berjaya dan kita sebagai manusia perlu mencari usaha ke arah kejayaan tersebut. Usaha tersebut tiada siapa boleh lakukan melainkan diri kita sendiri," katanya yang kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2).

**DAPATKAN SINAR HARIAN HARI INI UNTUK BERITA PENUH

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "Semua yang hidup pasti akan menemui ajal". Firman ALLAH SWT ini selalu dititikberatkan dan diingatkan dalam agama Islam di mana kehidupan alam dunia hanyalah bersifat sementara sebelum tiba kehidupan yang kekal abadi. Sebagai hamba-Nya, kita harus mempersiapkan diri dengan bekalan amal dan pahala bagi menghadapi hari pengadilan kelak yang tidak kita tahu bila.
  • Pusat Jaringan Komuniti dan Kegiatan Pelajar dengan kerjasama SmartSelangor di bawah pentadbiran Menteri Besar Incorporated (MBI) telah melaksanakan empat buah program secara serentak di lima buah negeri iaitu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Johor Bharu bermula 28-30 September dan 1 Oktober lalu yang disertai 150 sukarelawan terdiri daripada siswa Unisel terlatih, 'turun padang' untuk memberikan khidmat membantu masyarakat.
  • JITRA - Mahasiswa Persatuan Seni Silat Cekak (PSSCM) Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu Ma’had Tahfiz Masjid Pekan Tunjang, Jitra baru-baru ini.
  • INISIATIF penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy atau RE) merupakan antara idea bernas yang dicadangkan peserta belia dalam memelihara persekitaran negara menjelang 2050. Ia merupakan antara aspirasi belia pada program Have YOUR Say - TN50 & the Future of Malaysia’s Natural Environment.
  • SITUASI penghijrahan warga Malaysia (brain drain) ke luar negara harus dilihat dari sudut berbeza, di mana golongan tersebut mampu menyumbang kepada negara khususnya sebagai ejen rangkaian teknologi serta perniagaan baharu buat Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.