BARU-BARU ini, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Razak School of Government berjaya menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2016 sempena Bulan Integriti.

KIN 2016 adalah salah satu daripada siri program yang telah diaturkan untuk direalisasikan sepanjang bulan November. Ia telah menyaksikan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan jawatan. Lebih 400 peserta, sebahagian besar kalangan penjawat awam telah menjayakan konvensyen kesembilan itu.

Integriti berpegang pada keperluan utama bahawa usaha memupuk budaya berintegriti sewajarnya terdiri daripada pelbagai kaedah dan pendekatan yang berbeza agar selari dengan ciri-ciri anggota masyarakat itu sendiri.

Masing-masing kumpulan mempunyai kehendak, keperluan dan keinginan yang berlainan. Justeru, setiap kumpulan sasaran harus didekati dengan cara tersendiri agar mereka dapat dengan mudah menerima, memahami dan menghayati budaya berintegriti dalam setiap tindakan masing-masing dengan efektif tanpa gagal.

Meskipun KIN 2016 dikhususkan untuk menyentuh perspektif perkhidmatan awam tetapi wakil pelbagai sektor telah berkongsi pengalaman dan pandangan membina tentang cara mana terbaik untuk memperkukuh budaya berintegriti dalam perkhidmatan awam.

Susulan KIN 2016 yang dilihat telah mendatangkan manfaat awal kepada anggota sektor awam, Persidangan Integriti Pendidikan Tinggi di Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara di Nilai, Negeri Sembilan bertemakan Persidangan Integriti Pendidikan Tinggi: Memperkasa Pendidikan Tinggi Negara dilangsungkan pada 24 November lalu.

Persidangan ini diadakan dengan matlamat utama berkongsi pengalaman dan idea usaha-usaha pembudayaan integriti yang dijalankan di institusi pendidikan tinggi (IPT) negara, untuk memperkukuh kolaborasi dalam membina jaringan antara Integriti dengan institusi pendidikan tinggi dan hasil perbincangan dijadikan bahan rujukan pelaksanaan program integriti di IPT dalam negara.

Dalam usia Integriti dan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang sudah lebih 12 tahun, pelbagai usaha terus diambil untuk membudayakan integriti warganegara termasuk IPT negara.

Dalam usaha menerapkan mesej integriti dalam kalangan penuntut IPT sejak 2005, Integriti telah menganjurkan pertandingan debat perdana integriti antara pusat-pusat pengajian tinggi dengan kerjasama Majlis Debat Antara Universiti Malaysia.

Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pengalaman dan penghayatan integriti dalam kalangan warga baharu IPT, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Integriti menganjurkan sesi ceramah integriti.

Pada 2010, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama dan sokongan Integriti telah menubuhkan Rakan Integriti Mahasiswa sebagai saluran untuk mempromosi budaya integriti dalam kalangan mahasiswa.

Untuk berkongsi pengalaman negara-negara Asean dalam usaha penerapan integriti melalui pengajian tinggi, pada 2015, Integriti dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Dialog Integriti Asean (AID) 2015.

Program ini telah membuka ruang untuk Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah penerapan integriti. Pada 2017, Integriti akan menganjurkan AID bagi kali kedua.

Integriti yakin usaha-usaha perlu diperluaskan bagi menerapkan budaya berintegriti dalam tindakan melibatkan institusi pendidikan tinggi masing-masing dalam lima bidang utama iaitu tadbir urus dan pembangunan sumber manusia, pengurusan kewangan dan penjanaan kekayaan, pengurusan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar, dan pembangunan komuniti dan kesukarelawan. Bidang-bidang ini akan dikupas menerusi lima sesi selari yang diadakan pada persidangan kali ini.

Sebagai gedung ilmu dan pusat pembentukan cendekiawan, institusi pendidikan tinggi memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara dan pembangunan modal insan. Dengan cabaran globalisasi, semua institusi pendidikan tinggi perlu mempunyai daya saing dan daya tahan supaya dapat berada dalam kelompok universiti terbaik dunia.

Dalam konteks ini tumpuan khusus perlu diberikan kepada pembangunan modal insan dan tadbir urus baik yang mencerminkan integriti.

Integriti telah membangunkan beberapa instrumen untuk membantu organisasi menilai kekuatan dan kelemahan ke arah mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang tersebut.

Pertama, Ujian Penilaian Integriti (IAT) bagi membantu organisasi menilai kekuatan dan kelemahan rangka kerja undang-undang, pentadbiran dan ekonomi berhubung dengan integriti dan rasuah.

Kedua, Profil Integriti Malaysia (MIP) [nota: kita masukkan terma rasmi dalam BM], mekanisme yang dibangunkan dengan kerjasama Mimos Bhd, bagi mengadakan penilaian psiko metrik berasaskan kertas ujian atau talian untuk menilai sama ada pemohon dan pekerja sedia ada boleh dipercayai untuk bertindak dengan berintegriti demi kepentingan organisasi.

Ketiga, pelan intervensi integriti yang membantu organisasi membangunkan strategi integriti korporat sendiri secara menyeluruh.

Pendekatan ini akan membantu meningkatkan akauntabiliti dengan memfokuskan kepada ketelusan dan outcome yang disasarkan. Almarhum Sultan Azlan Shah pernah menegaskan pentingnya pihak universiti merangka kandungan pendidikan holistik merangkumi aspek agama, intelek, nilai murni dan integriti untuk menghasilkan graduan berilmu, beretika, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan, dan pada setiap masa bersifat jujur lagi ikhlas agar mendapat keredaan Ilahi.

Tokoh Maal Hijrah 2009, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi juga pernah mengatakan, “apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.”

Ungkapan dan kata-kata ini dengan sendiri membayangkan kepentingan peranan pendidikan masa kini dalam mencorakkan rupa generasi akan datang.

Peranan institusi pendidikan tinggi tidak hanya melahirkan generasi ‘baik’, sebaliknya perlu membentuk modal insan berkualiti.  Amalan integriti adalah asas kepada tadbir urus yang baik.

Maka, usaha meningkatkan integriti perlu diamalkan secara konsisten oleh setiap daripada kita khususnya generasi muda.

Integriti juga telah menggubal kurikulum bagi kanak-kanak prasekolah. Projek perintis sukatan ini sedang dilaksanakan. Integriti berpandangan usaha membudayakan integriti di kalangan penuntut institusi pendidikan tinggi harus dipergiatkan.

Jika usaha ini dipertingkatkan diyakini akan membantu ke arah usaha memantapkan integriti sama ada dalam pelaksanaan dasar atau program.

Kesedaran memperkasa integriti pendidikan tinggi negara berupaya membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan berintegriti.