APA perasaan anda jika sedang enak menikmati makanan di sebuah kedai makan, restoran, kopitiam atau kafeteria, tiba-tiba beberapa ekor lalat mengerumuni makanan yang terhidang di atas meja.

Tentu sahaja situasi sebegini cukup merimaskan malah selera juga tentu akan terbantut dek kehadiran serangga tanpa undangan itu. Kehadiran lalat sememangnya merimaskan, bukan sahaja ketika makan tetapi ketika berehat, bekerja, bercuti dan sebagainya.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Che Susilawati Che Berahim, 31, berkata, puluhan lalat yang hinggap pada makanan berpotensi menyebarkan kuman pembawa penyakit.

Atas faktor tersebut, anak kelahiran Triang, Pahang ini menghasilkan satu produk inovasi bagi membasmi lalat dinamakan Fly Trap secara bersama dengan empat penuntut PMM sesi Jun 2016 daripada jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) iaitu Muhammad Firdaus Abdullah, 25, Muhammad Hazim Zain Alwi, 21, Nik Ahmad Sahhir Nik Ab Nasir, 21, dan Muhammad Hafizal Zainuddin, 21.

Menurut Che Susilawati, Fly Trap adalah perangkap lalat yang boleh memerangkap haiwan itu dengan mudah. Ia dihasilkan bagi memenuhi kehendak pengguna yang sering berdepan masalah kehadiran lalat, sekali gus mengganggu rutin harian masing-masing.

Keistimewaan Fly Trap, mudah diselenggarakan dan dibersihkan, serta dapat memerangkap sekali gus bagi mengurangkan populasi lalat tanpa mencemarkan alam sekitar kerana ia menggunakan umpan organik yang lebih mesra alam dan mesra pengguna.

"Produk berkenaan berdimensi 160mm tinggi dan berdiameter 110mm. Ia diperbuat daripada plastik Polipropelina (PP) yang sesuai digunakan sebagai bahan utama untuk memerangkap lalat kerana kos bahannya murah. Manakala umpan digunakan adalah umpan organik yang tidak mencemarkan alam sekitar. Konsep jaringan elektrik merupakan medium utama untuk memerangkap lalat," jelasnya.

Fly Trap mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan. Tiga bulan pertama adalah memilih reka bentuk produk terbaik, manakala tiga bulan berikutnya adalah pelaksanaan projek iaitu fabrikasi dan akhir sekali uji kaji.

Tidak dinafikan, terdapat beberapa cabaran dilalui dalam menghasilkan Fly Trap ini. Antaranya, menguji keberkesanan produk di kawasan terpilih seperti kedai makan, restoran, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan kediaman rumah selain pemilihan umpan organik bersesuaian ciri-ciri atau sifat lalat tersebut.

Menangi pelbagai anugerah

Produk Fly Trap dihasilkan secara usaha sama dengan penuntut projek bagi kod kursus JJ614 iaitu Projek 2.

"Saya amat menghargai kesungguhan dan usaha mereka terhadap penghasilan Fly Trap ini kerana usaha dan semangat mereka telah membuahkan hasil sehingga berjaya memenangi Anugerah Emas pada Hari Inovasi Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Sesi Jun 2016 dan Anugerah Emas kategori Inovasi serta Anugerah Pengarah pada Pertandingan Perkaya Inovasi PMM 2016," jelasnya.

Che Susilawati berkata, buat masa ini produk Fly Trap masih belum dipasarkan lagi, tetapi jika ada pihak industri berminat untuk memasarkan Fly Trap, ia adalah rezeki buat dia dan para penuntutnya.

"Sebagai penyelia mereka, saya membantu dan mengajar mereka tentang penghasilan produk yang berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.

Beliau amat berharap, selain dapat memasarkan ke peringkat lebih tinggi, kehadiran Fly Trap ini dapat menyelesaikan segala masalah yang dihadapi masyarakat berkaitan dengan lalat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MAHASISWA Bina Masjid merupakan inisiatif pencarian dana untuk membina masjid yang diterajui Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang (MPPUMP) sesi 2016/2017.
  • PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan bahawa terdapat 246 juta orang dalam dunia mempunyai tahap penglihatan rendah, manakala seramai 39 juta orang pula dilaporkan mengalami kecacatan penglihatan (buta) di seluruh dunia.
  • SUDAH masuk musim akhir bagi tahun ini untuk pengambilan penuntut baharu di kolej-kolej dan institut pengajian tinggi (IPT). Semakin bingung pula bagi calon penuntut baharu untuk menentukan jurusan apa yang mereka inginkan.
  • UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Centre of Advance Research on Energy (CARe) telah menempa sejarah tersendiri apabila para penyelidik CARe diiktiraf sebagai rakan penyelidik Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton setelah terlibat dengan penyelidikan bersama bagi pengoptimuman komponen utama kuasa automotif.
  • SUKA lihat gigi cantik dan sihat? Calon-calon penuntut mempunyai minat tinggi terhadap sains, seni dan estetik bolehlah menceburi bidang sains perubatan dalam pergigian ditawarkan di Universiti Mahsa (Mahsa).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.