"ADIK, tak payah belilah ya baju dengan kasut sekolah. Beg dengan set alat tulis pun dah ada ni. Semuanya dah cukup lengkap.

"Baik mak. Tapi abang tak ada lagi beg sekolah. Yang ada kat rumah tu, dah buruk sangat. Nak masukkan buku pun dah tak muat. Kesian abang.

"Nanti mak pergi ke sana sekejap, tengok-tengok jika masih ada beg sekolah untuk abang. Adik tolong jagakan semua barang ni ya, nanti hilang, mak tak cukup duit untuk beli yang lain."

Gelagat si ibu dan si anak ini diperhatikan penulis ketika membuat tinjauan pada Program FreeMarketUM Edisi Khas Kanak-Kanak 2016 di Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi (KK10), Universiti Malaya (UM) 19 November lalu.

Perasaan sebak dan sedih serta hampir menitis air mata cuba ditahan oleh penulis. Rupa-rupanya, masih ramai golongan yang tidak berkemampuan memerlukan sumbangan daripada masyarakat luar.

Penulis yakin, kecil atau besar sumbangan yang diberikan, golongan berkenaan pasti menerima dengan hati terbuka dan hanya ALLAH saja yang dapat membalas jasa baik semua pihak.

FreeMarketUM anjuran Jawatankuasa Kebajikan dan Kemasyarakatan KK10 dengan kerjasama FreeMarketMY ini memberi fokus kepada kelengkapan persekolahan kanak-kanak untuk sesi 2017.

Barangan berupa pakaian seragam sekolah, kasut, beg sekolah, set alat tulis, buku-buku dan barang-barang lain seperti pakaian harian, mainan dan makanan, dipamerkan dan diberikan secara percuma kepada mereka yang hadir.

Majoriti kehadiran adalah datang daripada golongan yang benar-benar memerlukan dan FreeMarketUM ini dilihat sebagai program yang cukup 'membantu' meringankan beban kanak-kanak dan keluarga yang mahu mendapatkan barangan persekolahan buat si anak.

Sekalung pujian dan tahniah diucapkan kepada penganjur atas inisiatif menganjurkan program yang disifatkan cukup murni dan prihatin ini.

Walaupun sudah memasuki kali ketiga penganjurannya, namun ia masih tetap mendapat sambutan. Diharapkan, FreeMarketUM di masa akan datang, akan lebih hebat lagi dengan penyertaan lebih ramai penderma-penderma dari seluruh Malaysia.

Bantu golongan memerlukan

Seramai 111 penderma yang terlibat pada Program FreeMarketUM kali ini. Mereka mendapat bantuan daripada 85 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa KK10, mahasiswa kolej lain dan juga barisan NGO.

FreeMarketUM kali ketiga ini, memberi fokus kepada barangan keperluan sekolah kanak-kanak untuk sesi 2017. Pemilihan tema Edisi Khas Kanak-Kanak dipilih memandangkan tidak lama lagi, sesi persekolahan baharu akan bermula, dan tentunya orang ramai begitu memerlukan kelengkapan persekolahan.

Selain pemberian barangan, FreeMarketUM tahun ini turut diselitkan dengan sesi ceramah yang dikhaskan buat ibu bapa dan golongan dewasa berkenaan kesedaran penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak dari PS Children.

Menurut Felo Penasihat Program FreeMarketUM, Abdul Malik Anuar, 27, FreeMarket ini kelihatan hampir sama dengan pasar lambak tetapi ia mempunyai satu ciri yang begitu unik, di mana pelanggan digalakkan untuk mengambil pulang barang-barang yang dipamerkan secara percuma.

 "Objektif utama program FreeMarketUM hanyalah untuk menjadi saluran dalam menyampaikan barangan atau perkhidmatan yang baik kepada mereka yang memerlukan atau mungkin tidak berpeluang untuk merasainya sebelum ini.

"Selain itu, program ini juga menyemai rasa ikhlas dan kasih sayang masyarakat di atas sumbangan yang dihulurkan," kata beliau dengan menambah, bukan saja FreeMarketUM, tetapi FreeMarket lain juga boleh menjadi jalan untuk golongan seperti gelandangan mendapatkan pakaian berjenama, atau untuk pelajar mendapatkan bahan pembelajaran tanpa mengeluarkan sesen pun.

Dalam pada itu, FreeMarketUM ini turut menjemput dan menggalakkan orang awam untuk membawa barang-barang yang masih elok dan menawarkannya kepada sesiapa yang memerlukannya.

Jelas Abdul Malik, FreeMarket hanyalah satu manifestasi kejujuran dalam memberi, di mana mata wang yang diguna pakai untuk transaksi program ini adalah hanya perlu minta baik-baik dan ucapkan terima kasih.

Diharapkan FreeMarketUM tersebut mampu menjadi satu bentuk kebajikan yang unik dalam menyebarkan kebahagiaan dan kasih sayang berterusan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.