KAJIAN Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati masalah keciciran merupakan antara masalah utama membelenggu pelajar sekolah, terutamanya yang berada dalam fasa peralihan ke sekolah menengah.

Pada 2012, didapati seramai 46,791 pelajar sekolah rendah keciciran apabila menjelang masa untuk mereka melangkah ke Tingkatan 1, dan jumlah peratusan keciciran tertinggi dicatatkan di Johor, Terengganu dan Lembah Klang. Perkaitan paling ketara adalah di antara keciciran pelajar dengan faktor pendapatan isi rumah yang rendah.

Projek Yusuff (PY), sebuah program khidmat masyarakat anjuran mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), cuba membantu situasi ini dengan mengadakan program kelas tuisyen percuma untuk sejumlah 16 anak-anak keciciran dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur.

Program yang bermula pada 2015 ini pada mulanya dianjurkan dengan kerjasama i-Sina, Projek Iqra’ dan Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Mini Terminal Sejahtera (MINTS), PPR Pantai Ria. Walau bagaimanapun, sejak September 2016, program ini dianjurkan di kampus UM.

Menariknya, PY diilhamkan bukan bertujuan untuk menjadikan pelajar-pelajar ini mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, sebaliknya lebih kepada menjadikan mereka terus berminat untuk meneruskan pelajaran di sekolah. Dalam erti kata lain, program ini cuba untuk meletakkan mereka semula dalam arus pembelajaran bersama rakan-rakan sebaya agar tidak tercicir lagi.

“Kami percaya proses pembelajaran boleh dilaksanakan melalui cara yang pelbagai, termasuklah pendedahan secara praktikal melalui aktiviti yang menyeronokkan. Motivasi inilah yang ingin kita pupuk di dalam pelajar-pelajar ini supaya terus berusaha dan kekal berada dalam alam persekolahan," kata Penasihat PY, Dr Khairunnisa Hasikin.

Ikuti perkongsian sukarelawan PY yang terpilih menjadi 'cikgu' walaupun masih bergelar siswa siswa di KKTB, UM.