ISTIADAT Konvokesyen Ke-12 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 28 November lalu, telah berlangsung dengan meriah di Panggung Eksperimen, Aswara.

Konvokesyen bertemakan Akal Budi Seni, menyaksikan seramai 153 graduan daripada lapan fakulti menerima Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, manakala tiga graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif masing-masing.

Dua graduan menerima Anugerah Rektor, lima Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Pengajian Ijazah Sarjana Muda, manakala tujuh graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Pengajian Diploma pada Istiadat Konvokesyen yang disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Selain itu, Aswara turut mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Seni yang dimulakan sewaktu Istiadat Konvokesyen Aswara ke-7 pada 2009 dengan penerima pertama adalah Seniman Negara Keenam, Abdul Rahman Bakar (Rahman B).  

Pemilihan penerima bagi Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Seni terdiri daripada calon-calon bidang seni, budaya dan warisan. Jeffrey Yong menjadi penerima anugerah berkenaan di Istiadat Konvokesyen ke-12 Aswara.

BANGGA PENCAPAIAN ASWARA

Datuk Seri Mohamed Nazri memuji Aswara sambil melahirkan rasa kagumnya terhadap institusi tersebut yang telah berjaya menyerlah potensi staf akademik, staf sokongan, para graduan serta meraih pengiktirafan cukup baik dari dalam dan luar negara sebagai satu-satunya universiti seni di negara ini. Antaranya, penglibatan serius dalam Liga Institusi Seni Asia (ALIA).

Aswara juga telah muncul sebagai institusi seni pertama di rantau Asia Tenggara menyelaras pertemuan dan seminar ALIA yang dihadiri sarjana-sarjana seni dari seluruh Asia termasuk wakil dari Liga Institusi Seni Eropah (ELIA).

“Kita bangga graduan Aswara adalah tenaga pakar yang dapat diterima oleh pasaran kerja sama ada sektor swasta mahupun awam. Dengan pengetahuan serta kemahiran yang bersifat soft skill dan hard skill, graduan Aswara mampu bersaing dengan graduan-graduan lulusan universiti tempatan lain dalam bidang pekerjaan.

“Berdasarkan rekod, lebih 98 peratus graduan diploma dan ijazah sarjana muda berjaya memasuki pasaran pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti-universiti awam tempatan dan universiti tersohor di luar negara.

“Ini membuktikan lulusan kita mendapat pengiktirafan serta perakuan dari aspek kemahiran, kebolehan, kemampuan serta keupayaan dalam aspek soft skill dan hard skill yang dipelajari di Aswara," ujarnya.

PENERIMA ANUGERAH REKTOR

Pada istiadat konvokesyen kali ini juga, graduan pengajian Diploma Seni Muzik (Pengkhususan Vokal Klasikal), Jamilah Abu Bakar, dipilih sebagai penerima Anugerah Rektor.

Gadis berusia 21 tahun ini, turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik Pengajian Diploma Fakulti Muzik dengan memperoleh Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.81.   

Anak ketujuh daripada sembilan     adik-beradik ini sememangnya dikenali seorang yang bijak sejak zaman sekolah. Sebelum ini, beliau memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan merupakan Pelajar terbaik Australian Guild of Music in Voice 2011 Level 7.

Berkemahiran dalam nyanyian lagu-lagu keroncong dan tradisional, Jamilah juga cemerlang sepanjang pembelajaran di Aswara.

Beliau mendapat Anugerah Pelajar Terbaik pada setiap semester berturut-turut dan Anugerah Dekan pada lima semester pengajian di samping telah mendapat.

Telah mendapat Distinction dalam sijil Gred 5 dalam teori muzik ABRSM di Aswara. Penilaian Tahun Akhir Jamilah juga berakhir dengan jayanya di mana dalam persembahan berjudul A Classical Evening with Jamilah Abu Bakar pada 30 Mei 2016, beliau diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah konduktor pensyarah ASWARA, Dr. Takahisa Ota.

Jamilah bakal menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di Berklee College of Music, Boston, USA,

Sementara penerima Anugerah Rektor kedua pula ialah Douglas Philip Labadin, graduan pengajian Diploma Seni Tari berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Selain aktif dalam kokurikulum, beliau juga berjaya dalam akademik, bila mana berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu 9A untuk SPM.

Ketika di Aswara, Douglas yang juga penerima Anugerah Pelajar Terbaik Pengajian Diploma Fakulti Tari, dengan mencapai tahap HPNG 3.65, aktif melibatkan diri dalam pelbagai produksi yang dianjurkan seperti Tapestry, JAMU, Seru, Main Zapin dan banyak lagi.

Beliau juga berjaya menghasilkan koreografi bertajuk BAH semasa Gelombang Baru 2016. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang pelajar mewakili Aswara ke Pertandingan Zapin Kreasi Baru di Siak, Indonesia baru-baru ini. Pasukan tersebut memenangi tempat kedua.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "Semua yang hidup pasti akan menemui ajal". Firman ALLAH SWT ini selalu dititikberatkan dan diingatkan dalam agama Islam di mana kehidupan alam dunia hanyalah bersifat sementara sebelum tiba kehidupan yang kekal abadi. Sebagai hamba-Nya, kita harus mempersiapkan diri dengan bekalan amal dan pahala bagi menghadapi hari pengadilan kelak yang tidak kita tahu bila.
  • Pusat Jaringan Komuniti dan Kegiatan Pelajar dengan kerjasama SmartSelangor di bawah pentadbiran Menteri Besar Incorporated (MBI) telah melaksanakan empat buah program secara serentak di lima buah negeri iaitu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Johor Bharu bermula 28-30 September dan 1 Oktober lalu yang disertai 150 sukarelawan terdiri daripada siswa Unisel terlatih, 'turun padang' untuk memberikan khidmat membantu masyarakat.
  • JITRA - Mahasiswa Persatuan Seni Silat Cekak (PSSCM) Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu Ma’had Tahfiz Masjid Pekan Tunjang, Jitra baru-baru ini.
  • INISIATIF penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy atau RE) merupakan antara idea bernas yang dicadangkan peserta belia dalam memelihara persekitaran negara menjelang 2050. Ia merupakan antara aspirasi belia pada program Have YOUR Say - TN50 & the Future of Malaysia’s Natural Environment.
  • SITUASI penghijrahan warga Malaysia (brain drain) ke luar negara harus dilihat dari sudut berbeza, di mana golongan tersebut mampu menyumbang kepada negara khususnya sebagai ejen rangkaian teknologi serta perniagaan baharu buat Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.