BERGANJAK ke zaman pasca modenisasi, pembangunan dilihat sebagai pokok permasalahan dengan ranting-rantingnya mendatangkan pelbagai isu kontemporari yang merangkumkan soal urbanisasi, populasi, migrasi, nutrisi, pendidikan, sumber, ekonomi, jenayah rentas sempadan, alam sekitar.

Di dalam konteks hubungan antarabangsa, terma ancaman keselamatan bukan tradisional diguna pakai bagi merujuk kepada isu-isu kontemporari tersebut.

Kesejagatan perihal alam sekitar yang sudah mula menjadi wacana semenjak pasca revolusi industri memberi gambaran jelas tentang kebobrokan di serata dunia.

Pemanasan global umpamanya telah menyaksikan pencairan glasier dan peningkatan paras lautan yang membawa kepada masalah pelarian alam sekitar (environmental refugee), malah juga menjadi punca ketegangan politik tempatan dan antarabangsa serta krisis ekonomi global.

Menuju Pembangunan Lestari

Lantas, badan dunia yang menjadi pentas pendamaian antarabangsa pasca perang dunia telah menemukan pelbagai langkah melalui konvensyen dan dokumen bagi membendung kebinasaan alam sekitar. Antara dokumen yang amat signifikan bagi mendepani isu sebegini adalah Deklarasi Rio tentang Alam Sekitar dan Pembangunan 1992 (Agenda 21) yang telah dimeterai oleh 178 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia di Brazil.

Penumpuan yang lebih terarah dan pemaknaan baharu antara inti pati dimeterai melalui persidangan tersebut. Pembangunan lestari, menurut Suruhanjaya Dunia tentang Alam Sekitar dan Pembangunan (1987), adalah pembangunan yang diperlukan generasi masa kini tanpa menjejaskan sebarang keperluan generasi masa hadapan.

Ia juga merangkumkan pelbagai keperluan yang perlu dititikberatkan dalam merencana pembangunan, manakala, pendekatan dari bawah ke atas diguna pakai dengan menggembleng kerajaan tempatan, masyarakat akar umbi dan pemain sektor swasta.

Rejuvenasi Pengurusan Sisa Pepejal

Meskipun pembangunan, sebagaimana menurut Todaro merupakan proses peningkatan kualiti kehidupan manusiawi, namun, di sebaliknya, pembangunan juga adalah punca masalah alam sekitar yang sedang dunia hadapi pada masa kini.

Pemaknaan pembangunan lestari tersebut juga telah merintis kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Persidangan tentang Alam Sekitar dan Pembangunan 1992 bahawa pengurusan sisa pepejal merupakan antara masalah asas yang dihadapi bagi memelihara alam sekitar seterusnya mencapai pembangunan lestari di serata dunia.

Sekecil-kecil kebobrokan alam sekitar adalah bermula dari rumah kita. Sekecil-sekecil sampah dijana adalah sekecil-kecil ejen perosak alam sekitar yang mampu menipiskan lapisan ozon melalui pelepasan gas metana dan mencemar sumber bawah tanah melalui resapan air tercemar (atau di dalam kamus pengurusan sisa pepejal dikenali sebagai leachate).

Pencemaran sebegini selain pencemaran bau merupakan antara yang kita rungutkan saban waktu.

Asingkan Melalui Perundangan

Meskipun telah mula diperkenal dan cuba diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan, namun langkah membudayakan amalan kitar semula semacam tersisir daripada arus perdana. Kesedaran melalui pendidikan tentang peri pentingnya amalan ini telah diperhebat dan dipergiat sehabis boleh oleh pihak yang berkenaan, namun, janaan sisa pepejal tetap meningkat saban waktu.

Sedar akan peningkatan janaan tersebut, kerajaan telah menemukan langkah pengawalan dan pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien melalui pintu perundangan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan (Akta 672). Peruntukan akta ini telah menguatkuasakan pelaksanaan kaedah pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) di tujuh negeri yang menerima pakai akta tersebut.

Semenjak pelaksanaan kaedah SAS setahun lalu, pelbagai polemik berlegar dalam kalangan masyarakat tentang penguatkuasaan - antaranya penguatkuasaan kaedah tersebut sebagai lubuk hasil baharu bagi kerajaan melalui kompaun kepada masyarakat sekiranya tidak mengasingkan sampah yang dibuang.

Segala polemik tersebut meleset sama sekali apabila Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Sadique, baru-baru ini mendedahkan angka mereka yang dikenakan kompaun dalam lingkungan 80 orang sahaja. Dari celah mana pelaksanaan ini dikatakan sebagai menjana pendapatan negara?

Kelangsungan Agenda 21

Sejajar Agenda 21, langkah penguatkuasaan kaedah pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) merupakan pendekatan segar bagi melestarikan pembangunan negara. Selain menangani masalah pemendekan jangka hayat tapak pelupusan sampah di negara ini, langkah ini juga bertindak untuk mendidik masyarakat akar umbi tentang keperluan dan kebaikan amalan kitar semula yang selama ini dipandang enteng.

Sebagaimana ketetapan yang telah diambil oleh UNESCO melalui Deklarasi Kebertanggungjawaban Generasi Masa Kini terhadap Generasi Masa Hadapan pada 1997, yang antara lain menyelitkan tentang peranan yang perlu dimainkan kita, generasi masa kini, untuk memelihara alam sekitar demi kelangsungan generasi masa hadapan. Kebertanggungjawaban ini juga terikat dengan rujukan kepada Deklarasi Rio tentang Alam Sekitar dan Pembangunan 1992.

Justeru itu, penguatkuasaan SAS pada tahun lalu dilihat sebagai manifestasi kepada Agenda 21 seterusnya sebagai langkah akhir bagi melestarikan pengurusan sisa pepejal di negara ini. Menuju sebuah Malaysia yang mesra alam, kebertanggungjawaban dan kesedaran merupakan kunci penting selari dengan pembangunan dan kemajuan yang dicapai.

Kiriman:

Muhammad Ariff Mohamad Nizam

Graduan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) tekad meneruskan kempen memperkasakan pembacaan dan penggunaan tulisan jawi kepada masyarakat melalui pertandingan yang melibatkan murid sekolah rendah.
  • SERAMAI 50 pelajar Maahad Tahfiz Sains Darul Aman Kulim, Kedah berkesempatan berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.
  • UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim) melakar sejarah tersendiri apabila Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara ke-11.
  • SUNGAI PETANI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya (PJ), Tikam Batu melakar sejarah apabila muncul johan dalam pertandingan Energy Efficiency Challenge (EEC) 2017 peringkat kebangsaan.
  • KULIM - Selepas sedekad beroperasi, Kolej Komuniti Kulim kini membuktikan pusat pengajian itu mampu menghasilkan pelajar yang menjadi rebutan pihak industri.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.