GAMBARAN tentang kehidupan di kampus atau universiti selalunya membuatkan kalangan mahasiswa teruja untuk melaluinya. Namun, untuk mempersiapkan diri mengharungi selama tiga ke empat tahun pengajian, perkara berikut mahasiswa perlu tahu dan ambil perhatian agar kehidupan yang dilalui dalam tempoh itu menyeronokkan.

1) Skor GPA tinggi awal semester

Mendapatkan Grade Point Average (GPA) yang tinggi pada semester pertama adalah penting kerana ia memudahkan anda mengekal Cumulative Grade Point Average (CGPA) pada semester berikutnya. Jika dapat GPA yang rendah, amat sukar untuk dinaikkan semula pada semester-semester berikut.

2) Beli buku teks ‘second hand’

Tidak dinafikan, silibus universiti agak mahal. Oleh itu, paling mudah untuk mendapatkan buku pada harga lebih murah adalah dengan membelinya daripada pelajar senior program anda. Walaupun ‘berstatus’ terpakai, tetapi ia masih boleh diguna, kan.

3) Berkomunikasi

Memasuki alam universiti, pastinya akan berjumpa dengan rakan-rakan baharu. Loghat negeri yang berbeza tentunya suatu perkara menguja bagi pelajar kerana dapat merasai pengalaman berkomunikasi dengan rakan baharu dari negeri-negeri yang belum pernah kita pergi sebelum ini. Waktu ini kita membuat kenalan baru dan membina rangkaian untuk tujuan pembelajaran ataupun perniagaan. Mana tahu boleh jadi business partner.

4)  Penglibatan dalam kurikulum

Ada kalangan anda mungkin tidak sedar mempunyai bakat atau potensi diri dalam bidang tertentu. Cuba libatkan diri dan cungkil potensi diri dalam kurikulum yang anda cenderung dan minat kerana biasanya penglibatan sebegini mampu merubah kehidupan sama ada semasa atau selepas keluar dari alam universiti.

5) Cari peluang keusahawanan

Selain bidang pengajian, alam kampus ini juga membuka peluang untuk anda cari duit poket atau pendapatan tambahan selain bergantung harap kepada biasiswa, pinjaman atau biaya daripada keluarga. Cuba dan carilah peluang yang membolehkan anda menceburi bidang keusahawanan seperti kerja ‘part time’, bisnes online dan sebagainya.

6) Hala tuju

Fikirkan masa depan yang diinginkan untuk diri anda dan keluarga. Waktu di universiti adalah waktu yang sesuai untuk mematangkan diri dan berfikir secara rasional akan apa yang anda mahukan di dalam hidup. Ini tidak bermakna anda harus memikirkan soal ini setiap masa. Biarkan diri anda melalui pengalaman-pengalaman di universiti seperti bertemu rakan-rakan baharu, meneroka dunia ilmu dan sebagainya.