JOHOR BAHRU – Seramai 150 pelajar Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) mengambil peluang meningkatkan motivasi dan mendapatkan tips pembelajaran menerusi program ‘Zero to Hero’.

Program kali kedua anjuran alumni KMJ itu turut mendapat kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya KMJ sebagai sesi perkongsian ilmu bersama pelajar-pelajar.

Setiausaha Program, Nayliasma’ Yatim Mustapha berkata, program itu bertujuan memberi motivasi dan semangat kepada pelajar di samping membuka peluang kepada alumni berkongsi tips pembelajaran yang berkesan.

“Antara tips yang dikongsikan pada program ini termasuk teknik pengurusan masa menggunakan ‘planner’ di mana pelajar dibimbing mengikut latihan dalam kumpulan untuk menyusun masa mereka mengikut tahap kepentingan dalam ‘planner’.

“Selain itu, mereka juga diberi pendedahan ujian visual, auditori, kinestatik dan digital (VAKD) bagi mengenal pasti teknik pembelajaran yang sesuai berdasarkan personaliti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menerusi program itu juga mereka dapat mengenal pasti masalah pembelajaran yang dihadapi pelajar dan memberi tips bersesuaian bagi meningkatkan fokus mereka.

“Secara tidak langsung kami dapat mendekati dan mengenali pelajar bagi mengenal pasti masalah pembelajaran yang dialami.

“Antara masalah yang dihadapi termasuk tidak mengetahui cara yang betul untuk belajar dengan efektif, maka kami cuba membantu dengan mengetengahkan perkongsian mengenai fokus dan kepentingan mengejar target,” katanya.

Nayliasma’ berkata, penganjur turut mengundang pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai fasilitator dan juga berkongsi pengalaman berada di Institut Pengajian Tinggi.

Katanya, program yang berlangsung selama setengah hari itu mendapat sambutan memberangsangkan dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.