WALAUPUN majoriti peniaga makanan sudah mula menaikkan harga berikutan peningkatan kos barang mentah, namun bagi Muhamad Saleh Yusof, 67, itu bukan alasan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, sejak 26 tahun menjalankan perniagaan nasi campur, harga yang ditawarkan masih sama dan hanya naik sekitar 10 hingga 20 sen sahaja.

“Saya rasa harga yang ditawarkan ini sangat berpatutan dan sudah sinonim dengan masyarakat setempat di sini,” katanya.

Muhamad Saleh berkata, dia yang menjalankan perniagaan bersama ahli keluarga lain memulakan operasi seawal jam 8 pagi hingga 4 petang di No 28, Jalan Iskandar berhadapan Stesen Teksi Taiping, Perak.

“Kedai makan ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dan menghidangkan lebih kurang 40 jenis lauk-pauk,” katanya.

Setiap hari dianggarkan pelanggan yang datang ke kedainya antara 500 hingga 600 orang.

“Kebiasaannya pada jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang adalah waktu puncak dan pelanggan terpaksa beratur untuk membeli makanan,” katanya.

Harga yang ditawarkan kepada pelanggan adalah serendah RM2.50 untuk sepinggan nasi bersama lauk.

“Bagaimanapun, harga bergantung kepada jenis lauk dipilih pelanggan,” katanya.

Tan Woi Fong, 68, berkata, dia adalah pelanggan tetap kedai makan itu.

“Setiap hari saya akan ke sini untuk beli hidangan makan tengah hari dan perlu datang awal kerana jika lewat pasti akan beratur panjang.

“Selain hidangan yang disajikan sedap serta menepati cita rasa, harganya terendah di Taiping,” katanya.

Sementara itu, Murad Sanusi, 43, berkata, kedai makan ini antara yang mendapat sambutan masyarakat setempat.

“Lebih menarik, kedai ini bukan sahaja dikunjungi masyarakat Melayu sahaja tetapi berbilang bangsa seperti Cina dan India untuk menjamu selera,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.