• Valluvan Valluvan
  • JPJ JPJ
1 /

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengadakan inisiatif melakukan penyamaran di kawasan  yang sering berlakunya kesalahan lalu lintas.

Pengarahnya, V Valluvan Veloo berkata, anggotanya akan ditempatkan di lokasi ‘black spot’ dengan berpakaian biasa yang dibekalkan dengan kamera bagi merakamkan kesalahan pesalah lalu lintas.

“Ini merupakan kaedah terbaru yang akan dilaksanakan JPJ Selangor bagi memberi pengajaran agar pengguna jalan raya tidak melakukan kesalahan yang bukan sahaja boleh mengundang kesesakan malah kemalangan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, tempoh percubaan bagi inisiatif ini telah dilaksanakan di dua tempat iaitu Putrajaya ke Salak Tinggi dan Padang Jawa ke Shah Alam.

Valluvan berkata, selain operasi harian yang dijalankan setiap hari, JPJ Selangor juga turut melaksanakan Operasi Pengarah sebanyak dua kali seminggu, operasi bersepadu dan operasi ulat.

“Tahun ini sehingga Ogos lalu, kami berjaya menangkap seramai 246 pemandu yang dipercayai ulat KLIA,” katanya.

JPJ Selangor turut menubuhkan Skuad Muda JPJ dan program Satu Komuniti Satu JPJ bagi meningkatkan kesedaran pemandu.

Sebanyak 18,967 saman dikeluarkan JPJ Selangor dari Januari lalu hingga Ogos 2013 dengan pelbagai kesalahan seperti memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat.