JOHOR BAHRU - Karnival Ragbi Johor 2013 yang dijadual berlangsung di Dataran Bandar Raya, di sini, Sabtu dan Ahad ini, terpaksa ditunda berikutan masalah jerebu, menurut Kesatuan Ragbi Johor hari ini.

Presidennya Mohd Noorazam Osman berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Ragbi Malaysia, Kesatuan Ragbi Asia, kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan negeri.

"Penundaan ini dibuat setelah mengambil kira risiko kesihatan yang akan dihadapi oleh para peserta berikutan keadaan persekitaran yang berjerebu dan tidak sesuai untuk mengadakan aktiviti luar.

"Bagaimanapun, karnival ini akan ditunda kepada satu tarikh yang akan ditentukan kelak," katanya dalam kenyataan di sini.

Karnival Ragbi Johor 2013 menggabungkan dua kejohanan serentak iaitu Cabaran Ragbi Iskandar Malaysia 10's dan Cabaran Kesatuan Ragbi Asia 7's (AFRU 7's).   

Sementara di LEDANG, Kejohanan Bola Jaring Antara Sekolah-Sekolah Asrama Penuh Seluruh Malaysia di Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas di sini, esok dibatalkan berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Pengetua Sekolah Menengah Sains Muar, Samingan Samio berkata pihaknya menerima arahan daripada Kementerian Pendidikan supaya membatalkan kejohanan tiga hari itu selepas bacaan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan tersebut mencatat 352 mata pada tengah hari tadi. - Bernama