SUNGAI BULOH - Polis mengesahkan terdapat elemen-elemen yang mendorong kepada unsur kecuaian di dalam kes kematian seorang bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, 5 bulan, yang ditemui di dalam peti sejuk rumah pengasuhnya di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Batu Caves.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dalam kes itu, pihaknya menjalankan siasatan meliputi semua aspek dan sudut yang boleh membantu bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil selepas ini.

"Dari sudut siasatan, saksi-saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan dan tak perlu saya nyatakan berapa orang.

"Dan kalau pihak pendakwa raya memutuskan sebarang pertuduhan (dalam kes ini) kita akan maklumkan," katanya kepada media selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes Adam Rayqal: Polis masih siasat punca kejadian]

Dalam kejadian sebelum ini, Adam Rayqal dilaporkan hilang 3 Julai lalu selepas pengasuhnya dikatakan tersalah menyerahkan bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya.

Namun begitu, hasil siasatan polis menemukan mayat bayi itu disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuhnya kira-kira jam 11 malam selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangan suspek terlibat.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mazlan berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat di dalam kertas siasatan polis secara terperinci bagi menggelakkan perjalanan kes itu terganggu.

"Kes ini akan di bawa ke mahkamah esok, jadi tak elok jika saya dedahkan hasil siasatan terlalu awal kerana bimbang mengganggu proses perbicaraan kelak," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kes penemuan bayi di Pandan Indah semalam, Mazlan memaklumkan, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu dan melakukan pendakwaan terhadap suspek terlibat.

"Fenomena ini sering berlaku dan saya lihat gejala sosial ini perlu diatasi.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti pihak yang bersalah,"katanya.