IPOH  - Seorang warga emas mendakwa kerugian lebih RM180,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Balai Polis Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lalu.

Ang Tiah Cheen, 67, dari Kampung Simee di sini mendakwa menerima panggilan daripada lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Arif, 15 Ogos lalu memberitahu dia pernah membuat pinjaman RM50,000 dan terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di Pulau Pinang.

"Saya menafikan perkara itu tetapi lelaki berkenaan menakut-nakutkan saya dan meminta memasukkan sejumlah wang bagi tujuan penyiasatan serta memastikan saya 'bersih' daripada kegiatan dadah dan tidak memberitahu sesiapa kerana perkara ini adalah sulit.

"Saya terpedaya dengan kata-kata lelaki itu dan telah memasukkan wang secara berperingkat ke tiga akaun berasingan  RM181,767 di sekitar Ipoh sehari kemudian,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak di sini hari ini.

Wanita itu yang pernah bekerja sebagai tukang cuci sekolah berkata, dia tidak lagi dihubungi lelaki berkenaan selepas memasukkan wang tersebut.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, kes itu dilaporkan kepada pihak polis dan meminta pihak berkuasa menangkap suspek sebelum lebih ramai menjadi mangsa penipuan.

"Saya menghubungi Balai Polis Jelutong dan mendapati Sarjan Arif memang tidak berkhidmat dan tidak wujud di balai polis itu," katanya sambil meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya bagi mengelak ditipu. - Bernama