KUALA NERANG - Tindakan seorang majikan mengupah 20 pekerja asing untuk mengutip daun ketum di Kampung Lamdin, Naka, terbongkar apabila kegiatan itu dikesan dalam Op Pintas Naka, tengah malam tadi.

Kesemua pekerja warganegara Kemboja berusia antara 25 hingga lewat 30-an itu berjaya diselamatkan daripada terus dijadikan buruh paksa dengan bayaran tidak setimpal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, operasi bermula sekitar 12.15 tengah malam itu mengesan mangsa dieksploitasi sebagai buruh ladang ketika melakukan pemeriksaan di dua blok rumah ladang di kampung berkenaan.

“Polis menyelamatkan 11 lelaki dan sembilan perempuan yang tidak memiliki sebarang permit atau dokumen sah. Mangsa merupakan pekerja yang dieksploitasi majikan, dengan upah murah, bekerja di luar dan awal pagi selain ditempatkan dalam rumah terlalu daif,” katanya, dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom), diketuai Asisten Superintendan Saudi Abdul Rahman dari JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dibantu JSJ Padang Terap turut menemui tiga kanak-kanak berusia 5-10 tahun bersama mangsa.

“Dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan turut menginap dalam rumah ladang itu ketika serbuan. Turut ditahan lelaki berbangsa Siam berusia 46 tahun yang juga majikan mangsa, lelaki itu turut memiliki satu rekod lampau berkaitan Akta Racun,” katanya.

Mior Farid berkata, siasatan awal mendapati majikan terbabit menggaji kesemua mangsa memetik daun ketum, sejak lebih enam bulan lalu.

“Suspek terlibat dalam kegiatan menanam dan mengupah warga asing memetik daun ketum sebagai pendapatan komersial dan dilakukan secara haram. Suspek memaksa mangsa bekerja di ladang berkeluasan 1.5 ekar,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga didapati tidak memahami bahasa tempatan atau undang-undang negara ini, dan disalahguna untuk tujuan aktiviti haram.

Mior Farid berkata, turut dirampas 205 bungkusan mengandungi daun ketum yang dikumpul daripada tiga buah khemah, dengan anggaran 1,025 kilogram.

“Semua daun ketum yang dirampas bernilai hampir RM20,000, suspek dipercayai mampu meraih hasil jualan mencecah RM60,000 sebulan. Turut dirampas barangan kegunaan untuk bekerja seperti pakaian, kasut, lampu suluh, guni beg dan pisau,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 15 Akta Atipsom 2007 (Akta 670) kerana mengeksploitasi dan perkhidmatan paksa, serta bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.