PENDANG - Seorang wanita yang hamil empat bulan ditahan polis ketika cuba membeli dadah jenis heroin untuk suaminya di sebuah sarang penagihan dadah dekat kebun getah di Kampung Baru dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan ketika memasuki sarang penagihan itu dan mengaku mahu membelikan dadah tersebut untuk suaminya yang berusia 40-an yang sedang bekerja di sebuah ladang getah di sini.

"Lebih menyedihkan wanita itu juga mengaku hamil anak kedua dan pernah beberapa kali ditahan kerana dadah sebelum ini," katanya selepas Ops Tapis yang bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari itu, berakhir.

Beliau berkata, wanita itu merupakan antara 21 penagih dadah berusia 20 hingga 60-an yang berjaya dicekup dalam operasi bersepadu membabitkan 22 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pendang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  Pendang.

Ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis morfin dan methamphetamine. - Bernama