IPOH - Seorang wanita ditemui dibunuh dengan kejam dengan kesan jerutan di leher dipercayai akibat bergelut ketika mangsa disamun di rumahnya di Taman Permai di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 32 tahun itu ditemui adik iparnya kira-kira jam 4 petang yang tiba di rumah berkenaan.

Kejadian itu langsung tidak disedari bapa mertuanya kerana masalah pendengaran sehinggalah diberitahu oleh keluarganya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira jam 1.45 petang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jirannya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dijerut menggunakan tali nilon yang kemudiannya diikat pada tingkap bilik utama rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati barang berharga seperti rantai, subang dan subang hidung milik mangsa dianggarkan bernilai RM3,000 telah dilarikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Menurutnya, gerakan telah dilancarkan untuk mengesan dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu.

“Dalam kejadian itu, rumah mangsa didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal masuk ke rumah terbabit sebelum keluar dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira 10 minit kemudian.

“Polis telah mengenalpasti identiti suspek berkenaan. Kita ada maklumat dan dipercayai suspek dikenali oleh ahli keluarga,” katanya.

Yahya berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.