SHAH ALAM - Polis mengesahkan rakaman video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang pelajar sekolah cuba diculik seorang lelaki tiada kaitan dengan laporan cubaan melarikan pelajar diterima pihaknya semalam.

Dalam rakaman video itu memaparkan seorang pelajar sekolah berjalan di tepi kawasan berpagar sebelum sebuah kereta berwarna putih dilihat merapatinya.

Kenderaan itu kemudian dirakam mengundur, seorang lelaki turun dari kereta dan mengejar pelajar tersebut.

Kedua-duanya didapati bergelut hingga pelajar itu terjatuh dan bertindak melarikan diri ke pintu pagar dipercayai pagar sekolah.

Lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan kenderaan sama dirakam dalam video.

Video ditonton hampir 180,000 netizen itu bagaimanapun mengundang rasa resah berikutan ia disebarkan dengan hantaran mengatakan kejadian berlaku di sebuah sekolah di Bangi.

Status dikirim seorang pemilik akaun Facebook itu berbunyi "Ya ALLAH...lindungilah anak-anak kami semua.. takutnya."

Pemilik akaun turut berkongsi cerita mengenainya anaknya, Adam berhubung kejadian itu.

“Kisah semalam, Adam baru saja cerita pada saya dan adik-adiknya pagi tadi. Petang semalam lebih kurang jam 5.20 petang, di kawasan luar sekolah..Adam dan dua kawannya pergi ke telefon awam letaknya di luar (gate A) sekolah.. jadi  masa kawan dia tengah guna telefon, datang tiga lelaki (dua darinya botak dan kolar baju diangkat dan berjaket hitam) tegur Adam dan tanya Adam ‘adik nak lolipop’?..

“Selepas itu, sepantas kilat Adam jerit ‘lariiiiiii!!!” So mereka lari terus masuk sekolah melalui gate B. Adam kata lelaki kejar mereka juga tapi tak laju. Jarak antara pagar A ke pagar B adalah 50 meter. Jadi  masuk sekolah terus Adam pergi lapor pada cikgu dan cikgu kata akan buat pengumuman. Adam kata, lelaki botak naik kereta Toyota kelabu. Mama dengar tu terus rasa seram sejuk dan takut,” katanya menerusi hantaran yang tersebar di laman Facebook sejak pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff  berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan polis mengenai kejadian cubaan melarikan seorang pelajar di luar sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi, semalam.

Bagaimanapun, katanya, video yang disebarkan sekali dengan hantaran itu bukannya insiden sama seperti dilaporkan.

“Polis ada terima laporan daripada ibu kepada seorang pelajar yang mendakwa berlaku insiden cuba melarikan anaknya di luar kawasan sekolah, semalam.

“Pengadu dakwa anaknya bersama dua lagi rakan didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta yang tawarkan gula-gula kepada mereka. Anaknya juga dikatakan melarikan diri daripada kumpulan lelaki yang mengejar mereka,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

Ahmad Dzaffir berkata, sebaik menerima laporan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan dan berdasarkan keterangan saksi bebas di tempat kejadian, mereka dakwa tidak tahu mengenai insiden dilaporkan. Siasatan di lokasi kejadian juga dapati tiada CCTV di situ.

“Semakan lanjut ke atas rakaman CCTV tersebar di media sosial yang dikaitkan dengan insiden tersebut juga dapati ia bukan rakaman di sekitar kawasan kejadian dilaporkan,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, polis peka dengan laporan dibuat serta maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

Pihak polis juga katanya, mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan rondaan sekitar kawasan kejadian dan sekolah berkenaan.