PENGERANG - Sebuah restoran di sini menyediakan khidmat gadis karaoke dengan kadar upah RM50 hingga RM1,000 diserbu dalam Op Noda, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan berkenaan dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang.

Menurutnya, dalam operasi jam 11.20 malam itu, seorang lelaki dan dua perempuan ditahan.

Restoran berkenaan yang diserbu turut tidak mempunyai sebarang lesen hiburan.

"Bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiran bersama pasukan PBT Pengerang  telah melakukan serbuan di restoran berkenaan di Bukit Gelugor, Sungai Rengit.

"Serbuan dan tangkapan dibuat atas maklumat menganjurkan hiburan karaoke dengan pelanggan membayar upah RM50 ke RM1, 000 untuk memilih penyanyi khas.

"Serbuan mendapati premis tiada sebarang lesen hiburan dan mengupah pekerja warga asing tanpa permit kerja. Ekoran itu seorang lelaki berusia 52 tahun merupakan penjaga premis dan dua wanita warga asing usia 28 dan 24 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, polis turut merampas dua buah pembesar suara, dua buah mikrofon, empat TV LCD, satu beg hitam mengandungi VCD, lapan kalung bunga dan 19 helaian kain kalung yang tertera nilai dalam serbuan itu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(2)ENJ, Seksyen 39b PPI dan Seksyen 6(1) Imigresen.