KUALA TERENGGANU - Seorang nenek berdepan detik mencemaskan apabila cucunya berusia 15 tahun mengacukan sebilah pisau dalam kejadian amuk di Seberang Takir, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa berumur 64 tahun sedang berehat di rumah berseorangan sebelum dikejutkan dengan kepulangan remaja berkenaan dalam keadaan marah-marah sambil membawa pisau tersebut.

Menurut sumber, tanpa diketahui punca, remaja itu terus mengamuk sambil mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sehingga mengundang ketakutan warga emas berkenaan.

“Walaupun nampak mangsa menangis ketakutan, suspek yang seolah-olah dirasuk terus mengugut dengan mengacukan senjata dibawanya ke arah warga emas terbabit.

“Melihat tindak tanduk suspek seperti orang kurang siuman, mangsa nekad melarikan diri ke balai polis berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Sumber berkata, suspek terus melarikan diri bagi mengelak dirinya ditahan polis sementara mangsa mengambil keputusan membuat laporan untuk tindakan selanjutnya kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga memandangkan suspek tinggal bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, laporan berhubung kejadian diterima pihaknya di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.