ISKANDAR PUTERI - Kejadian ugutan bunuh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub disifatkan sebagai kes terpencil dan tiada melibatkan sebarang isu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kes berkenaan hanya berlaku akibat urusan peribadi antara suspek dan pemimpin berkenaan.

Menurutnya, kes sedang berjalan malah suspek juga sudah menjalani perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Ini kes terpencil, tidak ada apa-apa pun, tiada isu.

“Ini soal marah dan urusan peribadi," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki itu direman empat hari sehingga esok (7 Disember) bagi membantu siasatan kes terbabit.

Semalam, media melaporkan siasatan awal kejadian didapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak dilayan.

Suspek kemudiannya disyaki nekad meletakkan bangkai seekor lembu beserta surat ugutan bunuh di hadapan  Pusat Khidmat Dun Simpang Jeram, Muar.

Lelaki berkenaan kemudiannya berjaya ditahan kurang 24 jam selepas melakukan kesalahan itu.

Untuk rekod, Salahuddin adalah Ahli Parlimen Pulai di Johor Bahru dan juga Adun Simpang Jeram di Muar.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.