BANTING - Seorang lelaki tergamak menikam dan mencekik rakan sekerjanya hingga mati kerana dipercayai berlaku perselisihan faham dalam kejadian di sebuah kolej vokasional di sini, hari ini.

Susulan tindakannya itu, suspek yang bekerja sebagai pembantu makmal berusia 28 tahun itu sendiri menghubungi polis kira-kira jam 2.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek mengaku baru sahaja membunuh mangsa berusia 57 tahun dikenali Zaimah Mahmod yang juga seorang pembantu tadbir kolej berkenaan.

Menurutnya, polis tiba di lokasi kemudian menahan suspek.

"Kejadian berlaku di stor pejabat pentadbiran. Ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa sahaja berada di lokasi. Suspek mengaku secara lisan menikam dan mencekik mangsa sehingga mati kerana ada rasa tidak suka dengan mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Katanya, pemeriksaan forensik mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di leher dan badan mangsa.

"Siasatan awal juga mendapati, suspek yang masih bujang itu baru bekerja tiga bulan lalu. Suspek berasal dari Jenjaron turut dipercayai mengalami masalah mental," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.