KEMAMAN - Penjenayah yang mati ditembak dalam insiden berbalas tembakan di Felda Neram 1, di sini, hari ini, dipercayai turut terlibat dengan kes tembak mati bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, suspek, Syukri Mohamad Abiah, 37, atau lebih dikenali sebagai Keri Pok Jeng yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan sangat dikehendaki polis kerana terlibat dengan lebih 12 kes jenayah berat di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, ia membabitkan kes bunuh, mendatangkan kecederaan parah dan penculikan

"Suspek terlibat dengan jenayah sejak 2001 dan pernah ditangkap dan dipenjarakan namun selepas itu masih melakukan jenayah sehingga dia menjadi buruan polis sejak 2015.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba tembak anggota polis]

"Menyedari dia jadi buruan polis, suspek licik  menyembunyikan diri dan identitinya termasuk sering berpindah randah. Dia hanya berjumpa dengan orang-orang yang dia percaya saja," katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Dengan tumpasnya suspek, Fazlisyam berkata, polis percaya dapat menyelesaikan banyak kes berkaitan pembunuhan, mendatangkan cedera parah dan penculikan di pantai timur termasuk kes tembak mati Alias.

Bagaimanapun, katanya, bagi kes melibatkan Alias, beberapa siasatan lanjut masih perlu dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi  di tapak pembinaan projek perumahan di Felda Neram 1, suspek maut terkena tembakan selepas salah sebuah rumah yang menjadi tempatnya bersembunyi diserbu.

Menurut Fazlisyam, sebelum kejadian itu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menerima maklumat seorang penjenayah bersembunyi di kawasan itu.

"Ketika serbuan dibuat berlaku insiden berbalas tembakan. Polis terpaksa mengambil tindakan melepas dan membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

"Selepas situasi reda, pemeriksaan dilakukan dan didapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri serta telah meninggal dunia. Tembakan terkena pada bahagian dada kanan dan kepalanya," katanya.

Hasil serbuan itu, katanya, polis juga berjaya merampas sepucuk pistol dan sebilah parang.