KOTA BHARU - Tiga anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan konstabel ditahan selepas melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang peniaga di sebuah rumah di Taman Kenanga, Cherang, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku jam 12.05 tengah malam, ketika mangsa berusia 19 tahun berada di rumah sewa didatangi tiga lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, tiga suspek tersebut kemudian bertindak menggari tangan mangsa sebelum membawanya ke sebuah lagi rumah sewa rakannya.

Menurutnya, mangsa memberitahu melihat salah seorang daripada lelaki itu membawa pistol yang diselit di seluar bahagian depan namun senjata itu tidak dikeluarkan atau diacu kepadanya.

“Tiga lelaki tersebut kemudian terus masuk ke satu lagi rumah sebaik pintu dibuka oleh rakan mangsa. Suspek mengarahkan semua kawan mangsa meletakkan beg duit di atas lantai serta membuat pemeriksaan dalam rumah.

“Seorang suspek bertindak mengambil wang mangsa berjumlah RM300 di dalam beg duit. Mangsa juga diugut akan ditangkap sekiranya tidak mengikut arahan tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, hari ini.

Din berkata, tidak cukup dengan itu, mangsa dibawa pula ke sebuah mesin transaksi automatik (ATM) di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa untuk mengeluarkan wang daripada akaunnya tetapi gagal.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bank di bandar Kota Bharu dan salah seorang suspek turun membawa kad ATM mangsa sebelum masuk semula dan menyerahkan kembali kad tersebut serta memberitahu kad itu telah rosak.

“Mangsa dihantar kembali ke rumah sewa rakannya. Mangsa kemudian memeriksa baki akaun melalui perbankan atas talian dan mendapati wang RM2,000 telah tiada. Mangsa tidak dicederakan dan mengalami kerugian RM2,500,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan polis berjaya menahan tiga suspek yang merupakan anggota polis masing-masing bertugas di Terengganu, Pasir Mas dan Kota Bharu berusia antara 26 dan 27 tahun.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata

“Polis turut merampas pistol dan sebuah Nissan Navara yang digunakan dalam kejadian samun itu,” katanya.