JOHOR BAHRU  – Tiga nelayan tempatan terselamat tanpa sebarang kecederaan apabila dilepaskan sekumpulan lima lelaki bersenjata yang sebelum itu cuba merompak mereka di Tanjung Laboh berhampiran Batu Pahat petang semalam.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten  Sanifah Yusof berkata, ketiga-tiga nelayan berkenaan menaiki sebuah bot sedang menangkap ikan di 15 batu nautika barat daya Tanjung Laboh apabila didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki sebuah bot pancung pada jam 6.30 petang.

“Suspek kemudian  mengarahkan nelayan terbabit menyerahkan wang berjumlah RM30,000 sebelum bot serta ketiga-tiga mereka dipaksa masuk ke perairan negara jiran.

“Bot peronda dari Pangkalan Maritim Batu Pahat digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada pihak berkuasa Indonesia pada jam 7.30 petang,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun,  bot yang dinaiki nelayan tempatan berusia antara 25 hingga 49 tahun itu tidak ditemui pihak maritim sejurus tiba di lokasi kejadian.

Sanifah berkata pihaknya kemudian menerima maklumat pada jam 1 pagi dari pemilik bot tempatan bahawa bot mereka  dilepaskan suspek.

“Ketiga-tiga nelayan terbabit selamat sampai di Jeti Nelayan Pontian pada jam 3.30 pagi tadi dan hasil pemeriksaan didapati tiada sebarang kecurian dan kecederaan dialami mereka,” katanya.

Sanifah  berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan bot dinaiki lima lelaki berkenaan.

“Kita akan terus meningkatkan rondaan di perairan sempadan negara bagi mengekang dari kejadian ini berulang.

"Nelayan  juga dinasihatkan  supaya segera menghubungi pihak maritim  sekiranya melihat bot yang mencurigakan berada di perairan kita dengan segera,” kata beliau.

Kes itu disiasat  mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan. - Bernama